Konsert Nostalgia Ambang Tahun Baharu Tampil Dengan Kelainan di Le Méridien Petaling Jaya

Konsert Nostalgia New Year’s Eve yang berlangsung di Le Méridien Petaling Jaya berjaya mencipta pengalaman sambutan ambang tahun baharu yang unik, eksklusif dan penuh kehangatan. Berbeza daripada kebiasaan sambutan Tahun Baharu yang sering dikaitkan dengan kesesakan dan suasana terbuka, konsert tertutup ini menampilkan persembahan istimewa daripada Ernie Zakri, Syamel serta DJ Fuzz dalam suasana ballroom yang selesa dan tersusun. Penganjuran bersama Universal Music Malaysia dan Le Méridien Petaling Jaya ini memberi nafas baharu kepada konsep sambutan Tahun Baharu, sekali gus menawarkan alternatif premium buat peminat muzik.

Bagi Syamel, penglibatannya dalam konsert ini merupakan satu pengalaman yang amat bermakna kerana ia adalah kali pertama beliau menyambut Tahun Baharu menerusi acara dalaman. Menurutnya, suasana konsert yang tenang dan teratur memberikan pengalaman persembahan yang berbeza, sekali gus membolehkan beliau dan Ernie Zakri berinteraksi dengan penonton secara lebih dekat dan intim. Kehadiran peminat setia, sokongan media serta layanan eksklusif menjadikan malam tersebut penuh emosi dan kenangan manis.

Ernie Zakri pula mengakui pada awalnya berasa sedikit gusar untuk mengendalikan konsert Tahun Baharu dalam suasana ballroom. Namun, sebaik persembahan bermula dan sorakan penonton bergema, kebimbangan itu segera terlerai. Menurut Ernie, ‘vibe’ yang dirasai tidak jauh berbeza dengan konsert luar, malah lebih selesa dan kondusif. Elemen nostalgia yang disuntik menerusi persembahan DJ Fuzz melengkapkan keseluruhan pengalaman, menjadikan Konsert Nostalgia New Year’s Eve sebuah sambutan ambang tahun baharu yang eksklusif, bermakna dan sukar dilupakan.