vivo V80 Lite 5G Gegarkan Bukit Bintang dengan Bateri Gergasi 10,000mAh

vivo Malaysia secara rasmi memperkenalkan vivo V80 Lite 5G menerusi Glass House Showcase 10,000mAh Always Powered yang berlangsung di Lot 10, Bukit Bintang. Pameran interaktif itu menjadi tumpuan pengunjung apabila vivo mengetengahkan keupayaan bateri besar peranti berkenaan menerusi pelbagai aktiviti dan cabaran ketahanan.

Pelakon popular Malaysia, Aedy Ashraf, turut terlibat dalam cabaran ketahanan bateri yang dianjurkan, sekali gus memberikan gambaran mengenai keupayaan vivo V80 Lite 5G untuk menyokong penggunaan harian dalam pelbagai situasi. Pengunjung juga berpeluang melihat sendiri konsep Always Powered serta menghasilkan kandungan mereka sepanjang tempoh pameran.

Menjadi ciri utama peranti ini ialah Bateri BlueVolt berkapasiti 10,000mAh, yang merupakan pencapaian pertama siri V dalam kategori bateri sebesar itu. Bateri berkenaan direka untuk menyokong penggunaan sepanjang hari, termasuk navigasi GPS, panggilan pelanggan, komunikasi serta aktiviti hiburan tanpa perlu kerap mengecas.

vivo V80 Lite 5G menggunakan teknologi anod silikon generasi keempat dan Magic Cube Battery Packaging yang membolehkan peranti menawarkan sehingga 16 jam penggunaan intensif. Pada masa sama, reka bentuknya dikekalkan nipis dan selesa untuk kegunaan harian.

Ketahanan bateri itu turut disokong dengan Kuasa Stabil sehingga 45°C dan Sistem Penyejukan 3.8K Ultra Large VC bagi membantu mengekalkan suhu peranti ketika digunakan dalam keadaan mencabar. Fungsi Battery Life Extender pula memastikan fungsi penting seperti panggilan kecemasan masih boleh digunakan walaupun baki bateri hanya satu peratus.

Selain itu, ciri Reverse Charging membolehkan vivo V80 Lite 5G digunakan sebagai power bank mudah alih untuk mengecas peranti lain seperti fon telinga TWS. vivo turut memberi tumpuan kepada ketahanan jangka panjang dengan sistem perlindungan enam lapisan dan algoritma pengecasan tersendiri, yang membantu mengekalkan sekurang-kurangnya 80 peratus kapasiti bateri selepas enam tahun penggunaan.

Ketahanan bateri berkenaan turut mendapat pengiktirafan global apabila vivo V80 Lite 5G mencipta GUINNESS WORLD RECORDS™ bagi Siaran Langsung Ujian Produk Elektronik Paling Lama dengan tempoh 32 jam 37 minit.