TehTarikTimes

News, Entertainment and Lifestyles

Vantris Energy komited pelihara ekosistem laut, lancar program pemulihan terumbu karang di Pulau Lang Tengah

Vantris Energy Berhad (Vantris Energy) memulakan program pemulihan terumbu karang selama setahun di Pulau Lang Tengah, Terengganu menerusi penyertaan langsung sukarelawan kakitangannya dalam usaha memelihara kelestarian biodiversiti marin negara. Inisiatif yang digerakkan oleh seramai 15 sukarelawan kakitangan syarikat yang dikenali sebagai ‘Ocean Vanguards’ itu dilaksanakan dengan kerjasama pertubuhan pemuliharaan bukan keuntungan, Coralku, melibatkan penanaman sebanyak 246 serpihan karang merangkumi 15 struktur modular Bintang Terumbu (Reef Stars).

Struktur Bintang Terumbu berkenaan direka khas untuk menyokong proses pemulihan semula jadi dengan menyediakan tapak asas yang kukuh bagi pencantuman serta pertumbuhan karang baharu. Uniknya, kolaborasi bersama Coralku ini mengaplikasikan pendekatan pintar iklim berasaskan sains dengan mengenal pasti dan memilih koloni karang yang mempunyai daya tahan haba semula jadi lebih tinggi bagi mendepani cabaran peningkatan suhu lautan. Sebanyak tiga spesies karang telah ditanam pada kesemua struktur tersebut iaitu karang tanduk (Hydnophora rigida), Acropora gemmifera dan Acropora intermedia.

Menurut Naib Presiden Kualiti, Kesihatan, Keselamatan, Keterjaminan, Kelestarian & Alam Sekitar Vantris Energy, Nhakhorn Somchit, syarikat memandang serius tanggungjawab melindungi ekosistem laut memandangkan operasinya banyak dijalankan berhampiran persekitaran marin yang sensitif. Tegas beliau, komitmen Kumpulan tidak terhenti pada fasa penanaman semata-mata, sebaliknya diteruskan dengan sokongan pemantauan dan penyenggaraan berkala sepanjang tempoh setahun bagi menilai tahap kesihatan, kadar kelangsungan hidup serta perkembangan pemulihan terumbu karang tersebut.

Pengasas Bersama dan Pengarah Coralku, Dr Natasha Zulaikha Zahirudin pula menyifatkan kerjasama sektor korporat bukan sahaja penting untuk menjayakan projek lapangan, malah amat bernilai dalam menyokong penyelidikan saintifik yang mendasarinya. Melalui pemantauan berterusan yang disokong oleh Vantris Energy, pihak Coralku dapat mengumpul bukti saintifik yang lebih kukuh bagi menambah baik amalan pemulihan dan daya tahan terumbu karang pada masa hadapan.

Terumbu karang memainkan peranan vital dalam menyokong kira-kira 25 peratus kehidupan laut di dunia meskipun hanya meliputi kurang daripada 0.1 peratus lantai lautan, di samping bertindak sebagai benteng semula jadi melindungi pesisir pantai daripada hakisan serta menjamin sumber rezeki lebih satu bilion penduduk global. Program di Pulau Lang Tengah ini turut melengkapi rekod pencapaian terdahulu Vantris Energy (dahulunya dikenali sebagai Sapura Energy Berhad) dalam pemuliharaan marin serantau, termasuk kejayaan melaksanakan projek ‘Pelantar kepada Terumbu’ pertama di Thailand menggunakan kapal angkat berat Sapura 3000 pada tahun 2020 yang kini diwartakan sebagai kawasan marin terlindung.