BRU: MASIN & MANIS Tampilkan Kisah Baharu dan Cita Rasa Istimewa Bersama HWC COFFEE

Kuala Lumpur, 13 Julai 2026 — Selepas mencatat kejayaan membanggakan menerusi Tonton Original Series: BRU dengan lebih 244 juta capaian dan 14 juta tontonan, dunia BRU kini kembali menerusi kesinambungan terbaharu, BRU: Masin & Manis. Kejayaan siri terdahulu yang turut dinobatkan sebagai National Winner bagi kategori Best Original Production by a Streamer (Fiction) di Asian Academy Creative Awards (AACA) 2025 membuktikan penerimaan positif penonton terhadap kisah yang mengangkat dunia kopi sebagai latar penceritaan.

Meneruskan legasi tersebut, BRU: Masin & Manis mengetengahkan kisah Mohsin, lakonan Imranul Effendy, seorang barista berbakat yang berdepan cabaran besar apabila gangguan keresahan menjejaskan impiannya untuk memenangi pertandingan barista berprestij. Dalam usaha untuk membina semula keyakinan diri dan mencari arah baharu dalam kehidupan, Mohsin mengambil keputusan untuk berhijrah ke sebuah kampung.

Di sana, pertemuannya dengan Manis, lakonan Ellyza Azizi, membuka lembaran baharu dalam hidupnya. Hubungan yang terjalin bukan sahaja membantu Mohsin menemui semula semangatnya terhadap kopi, malah mengubah cara dia melihat kehidupan dan berhubung dengan orang di sekelilingnya. Daripada pengalaman tersebut, tercetusnya Salted Series yang menjadi antara elemen penting dalam perkembangan kisah BRU: Masin & Manis.

Menggabungkan elemen drama ringan, komedi dan kisah kehidupan seharian, siri terbaharu ini hadir dalam format drama vertikal sebanyak 45 episod, dengan setiap episod berdurasi antara dua hingga tiga minit. BRU: Masin & Manis mula menemui penonton pada 22 Julai 2026 dengan episod baharu disiarkan setiap hari Rabu secara eksklusif menerusi Tonton.

Siri ini diterajui oleh Imranul Effendy dan Ellyza Azizi, selain menampilkan kemunculan istimewa Siti Hariesa yang kembali membawakan wataknya daripada musim pertama BRU sebagai cameo. Dalam siri terbaharu ini, beliau memainkan peranan sebagai majikan kepada Mohsin, sekali gus menghubungkan kesinambungan dunia BRU sambil mengekalkan identiti siri yang dekat dengan peminat kopi.

Bagi membawa pengalaman BRU: Masin & Manis keluar daripada skrin, Tonton turut menjalinkan kerjasama dengan HWC COFFEE menerusi pengenalan tiga menu eksklusif yang diinspirasikan daripada siri tersebut. Bermula 6 Julai 2026, peminat berpeluang menikmati tiga minuman edisi terhad iaitu Salted Spanish Latte, Salted Hazelnut Cocoa Latte dan Salted Matcha Latte di cawangan HWC COFFEE yang mengambil bahagian.

Menurut penerbit BRU: Masin & Manis, Nik Amir Mustapha, kopi sejak awal lagi bukan sekadar elemen sampingan dalam siri BRU, sebaliknya menjadi medium yang menyatukan watak-watak serta perjalanan hidup mereka. Kerjasama bersama HWC COFFEE dilihat sebagai peluang untuk membawa pengalaman tersebut ke dunia nyata, membolehkan penonton bukan sahaja mengikuti kisah yang dipaparkan, malah merasai sendiri inspirasi di sebalik Salted Series yang menjadi sebahagian daripada penceritaan siri ini.

Kolaborasi tersebut turut membuka ruang untuk menghubungkan dunia penceritaan dengan pengalaman sebenar penonton. Menerusi gabungan kandungan hiburan dan pengalaman menikmati kopi, elemen yang diketengahkan dalam BRU: Masin & Manis dapat dirasai dengan lebih dekat, sekali gus menjadikan kisah serta identiti siri tersebut lebih hidup di luar skrin.

Dengan kisah baharu yang sarat dengan elemen persahabatan, kehidupan, kopi dan pencarian semula keyakinan diri, BRU: Masin & Manis menawarkan pengalaman penceritaan yang santai dan dekat dengan penonton. Peminat boleh mengikuti siri ini secara eksklusif di Tonton bermula 22 Julai 2026, sambil menikmati inspirasi Salted Series menerusi tiga pilihan minuman istimewa di HWC COFFEE yang mengambil bahagian.

Untuk maklumat terkini mengenai program kegemaran anda serta kandungan eksklusif, ikuti kami di Facebook, X, TikTok dan Instagram di @tontonmy.