TehTarikTimes

News, Entertainment and Lifestyles

N.A.W buka lembaran baharu industri muzik menerusi pelancaran single “Reset”

Arena muzik hip-hop tanah air terus disemarakkan dengan kehadiran single terbaharu berjudul “RESET” nyanyian N.A.W edaran Luncai Emas Sdn Bhd. Karya peribadi yang penuh penghayatan ini menyingkap dinamika perjalanan seni, cabaran serta proses transformasi jiwa penyanyi tersebut sepanjang bergelar anak seni.

N.A.W atau nama sebenarnya Nur Ahmad Wastie, anak jati kelahiran Sabah, mula berjinak-jinak dalam dunia muzik hip-hop hasil dorongan rakan-rakan serta ahli keluarga yang aktif menulis lirik dan mencipta rentak lagu sendiri. Bermula daripada persekitaran kreatif itu, beliau mendalami proses pembikinan muzik sebelum berjaya membentuk identiti serta hala tuju karya yang tersendiri.

Menurut N.A.W, “RESET” terhasil daripada refleksi jujur terhadap liku-liku dan pelbagai ujian yang ditempuhinya dalam industri muzik. Beliau percaya setiap insan adakalanya perlu berhenti seketika untuk menilai semula perjalanan yang telah dilalui, seterusnya melakukan proses pembaharuan diri agar dapat bangkit kembali dengan semangat dan tenaga yang lebih luar biasa.

Mengulas mengenai pemilihan Luncai Emas Sdn Bhd sebagai pengedar rasmi karya ini, N.A.W mendedahkan bahawa titik perkenalan tersebut bermula menerusi komposer terkenal, Luca Sickta daripada LS&BEAT LEGACY. Hubungan baik serta pengalaman kerjasama yang positif sebelum ini menjadi pendorong utama buat beliau bernaung di bawah edaran label berprestij itu, sambil berharap kolaborasi strategik ini mampu membuka lebih banyak ruang baharu dalam kerjaya muziknya.

Untuk rekod, hak cipta lagu “RESET” adalah milik penuh LS&BEAT LEGACY, iaitu syarikat milik Luca Sickta yang bernaung sebagai komposer di bawah Luncai Emas, sekali gus menjadikan karya ini ditadbir secara rasmi oleh Luncai Emas Sdn Bhd. Pelancaran single ini turut membuktikan komitmen berterusan Luncai Emas dalam meneroka dimensi muzik baharu dengan mengetengahkan bunyi hip-hop yang segar, berani dan sarat dengan mesej motivasi kepada masyarakat.

Single “RESET” kini boleh distrim di semua platform muzik digital utama, manakala video muzik lirik rasminya sudah mula ditayangkan di saluran YouTube rasmi Luncai Emas.