Barisan penyanyi popular tempatan iaitu Roy, Fredo Flybaits, Jessica Loo dan Winnie K bakal bergabung di pentas majlis makan tengah hari amal Melody for a Cause anjuran Kelab Rotary Damansara Uptown (RCDU) pada 19 Disember 2026. Acara yang berlangsung di Putra Ballroom, Klang Executive Club (KEC) ini bukan sahaja menampilkan hiburan secara langsung kendalian pengacara PHAT PHABES dan David Low, malah turut mengalu-alukan kehadiran lapan artis veteran sebagai penghargaan terhadap sumbangan mereka dalam mewarnai industri muzik negara.
Lebih bermakna, kesemua enam figura hiburan tersebut turut dilantik sebagai Ahli Kehormat baharu RCDU sebagai simbolik kerjasama erat antara penggiat seni dan kerja kebajikan masyarakat. Disokong oleh Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez yang hadir sebagai Tetamu Kehormat pada sidang media, majlis ini memberi tumpuan khusus kepada pengumpulan dana bagi membantu pemuzik dan anak seni yang berdepan kesukaran kewangan, di samping menyokong usaha pemindahan kornea dan projek komuniti.
Pengerusi Penganjur merangkap Presiden Terpilih, Jeremy Jones menyeru orang ramai untuk turut serta menyokong inisiatif ini walaupun tidak berkesempatan hadir ke dewan dengan cara menaja tiket atau meja untuk pihak lain. Tiket individu dijual pada harga RM200 dan meja amal pada harga RM1,800, dengan tempahan dibuka sehingga 10 Disember 2026 menerusi talian 016-621 4676 (YM Dato’ Seri Puteri Shahanaz Hazlin) atau 012-333 1098 (Rtn Susie Chye).













