Kuala Lumpur, 16 Julai 2026 — Program hiburan ikonik TV3, Melodi, bakal memasuki era baharu menerusi pembaharuan menyeluruh yang membawa pengalaman tontonan lebih segar, moden dan dinamik kepada penonton. Masih mengekalkan kehangatan yang menjadi identitinya sejak sekian lama, Melodi kini hadir dengan wajah baharu, pengisian yang lebih luas serta pendekatan penyampaian yang lebih dekat dengan cita rasa penonton masa kini.
Bermula 16 Julai 2026, Melodi akan bersiaran secara langsung setiap Khamis pada jam 9.00 malam menerusi TV3 dan turut boleh distrim di Tonton. Sebagai antara program hiburan yang telah lama menjadi rujukan perkembangan industri seni tempatan, pembaharuan ini dilihat sebagai langkah untuk memastikan Melodi terus kekal relevan dalam landskap hiburan yang semakin berkembang.
Menerusi penampilan baharu ini, Melodi memperkenalkan pembaharuan dari segi identiti visual, set studio dan pendekatan penyampaian kandungan yang lebih moden. Program ini juga tidak lagi hanya tertumpu kepada kisah selebriti, sebaliknya memperluaskan liputan kepada pelbagai perkembangan terkini dunia hiburan termasuk filem, muzik, drama, fesyen, gaya hidup, acara hiburan, laporan eksklusif serta kisah semasa yang menjadi perhatian masyarakat.
Lebih menarik, Melodi turut memperkenalkan Kamal Adli yang dikenali sebagai ‘King of Threads’ sebagai hos baharu. Beliau bakal bergandingan bersama Ain Edruce, yang terkenal dengan gaya penyampaian bersahaja dan menghiburkan. Gabungan personaliti spontan, berkarisma dan dekat dengan perkembangan industri hiburan yang dimiliki Kamal bersama keperibadian Ain dijangka memberikan nafas baharu kepada program tersebut serta menjadikan setiap episod lebih meriah dan menghiburkan.
Dalam usaha memperkukuhkan lagi kandungan berkaitan muzik tempatan, Melodi turut memperkenalkan segmen baharu, Muzik-Muzik 41. Segmen ini akan mengetengahkan perkembangan terkini carta muzik tempatan setiap minggu, selain membuka ruang kepada peminat untuk mengambil bahagian dalam proses pengundian yang menuju ke pentas berprestij Anugerah Juara Lagu (AJL).
Kerjasama antara platform turut diperkukuhkan apabila Hot FM menjadi rakan radio rasmi Muzik-Muzik 41 menerusi segmen Carta Juara Lagu. Bersiaran setiap Ahad dari jam 8.00 hingga 10.00 malam bersama Keymi, segmen tersebut akan membawakan 20 lagu yang menduduki Carta Muzik-Muzik setiap minggu, sekali gus mewujudkan sinergi lebih kukuh antara televisyen, radio dan platform digital dalam menyokong serta meraikan perkembangan muzik tempatan.
Dengan pembaharuan dari segi penampilan, kandungan dan barisan hos, Melodi bersedia untuk membawa pengalaman hiburan yang lebih pantas, moden dan dekat dengan generasi penonton masa kini. Peminat boleh mengikuti wajah baharu Melodi bermula 16 Julai 2026, setiap Khamis pada jam 9.00 malam secara langsung di TV3 atau menerusi platform penstriman Tonton.




