TV AlHijrah meneruskan tradisi Hijrah Prihatin Bubur Lambuk sempena Ramadan tahun ini dengan matlamat menyantuni masyarakat menerusi pengagihan juadah berbuka puasa. Inisiatif ini akan berlangsung di Lembah Klang dan Pulau Sebang, Melaka, bagi memastikan lebih ramai dapat merasai kemanisan berkongsi rezeki.
Program ini akan menyaksikan edaran bubur lambuk di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang, antaranya Flat Taman Mulia, Cheras (19 Mac), Madrasah Seksyen 4, Wangsa Maju (20 Mac), Masjid Gombak Utara (21 Mac), serta Sekolah Tahfiz Al-Habbah, Batu Caves (24 Mac). Sasaran utama ialah golongan asnaf, pelajar tahfiz, jemaah masjid, dan petugas barisan hadapan yang sentiasa berkhidmat kepada masyarakat.


Di Pulau Sebang, Melaka, kerjasama dengan KTMB bakal memeriahkan lagi program ini. Pada 14 Mac, Masjid Aleyah Kuala Ina akan menjadi lokasi penyediaan bubur lambuk oleh sukarelawan TV AlHijrah dan kakitangan KTMB sebelum diagihkan kepada penumpang KTM serta penduduk sekitar. Pasukan Hijrah Prihatin turut akan berbuka puasa bersama jemaah masjid sebagai simbol kebersamaan dan kepedulian.
Pengurus Hal Ehwal Korporat TV AlHijrah, Muhammad Sazri Abd Sani, menegaskan bahawa Ramadan adalah waktu terbaik untuk memperkukuh ukhuwah dan menunjukkan rasa prihatin kepada mereka yang memerlukan. TV AlHijrah berharap agar inisiatif ini bukan sekadar tradisi tahunan, tetapi menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk terus berkongsi rezeki dan kebaikan.