
Hock Kee Kopitiam bekerjasama dengan Golden Destinations melancarkan kempen cabutan bertuah peringkat nasional bertemakan “Golden Journey to Seoul with Hock Kee”, yang menawarkan peluang kepada rakyat Malaysia untuk memenangi percutian impian ke Seoul, Korea Selatan.
Kempen ini berlangsung dari 27 Julai hingga 30 September 2026 dan memberi ganjaran kepada pelanggan yang menikmati hidangan di cawangan Hock Kee Kopitiam yang mengambil bahagian di seluruh negara. Sepanjang tempoh kempen, empat pemenang bertuah akan membawa pulang Baucar Pelancongan Golden Destinations bernilai RM10,000 setiap satu, menjadikan jumlah keseluruhan hadiah sebanyak RM40,000.
Kerjasama ini menghimpunkan Hock Kee Kopitiam, antara jenama kopitiam tempatan yang semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia, bersama Golden Destinations, salah satu syarikat pelancongan luar negara B2B terkemuka di negara ini, bagi menawarkan pengalaman percutian yang direka khas untuk memenuhi citarasa pengembara tempatan.

Menurut Pengasas Hock Kee Kopitiam, Nick Ng, kerjasama ini bertujuan menghargai pelanggan dengan menawarkan pengalaman yang melangkaui hidangan di meja makan.
Beliau berkata, sama ada menikmati juadah bersama keluarga dan rakan-rakan atau meneroka destinasi baharu, kedua-duanya mampu mengeratkan hubungan serta mencipta kenangan yang bermakna.
Ketua Pegawai Operasi Golden Destinations, Charles Lim pula berkata, pelancongan membuka peluang untuk meneroka budaya baharu, mengeratkan hubungan bersama insan tersayang dan mencipta pengalaman yang sukar dilupakan. Beliau menyifatkan kerjasama ini sebagai peluang terbaik untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia menikmati pengalaman melancong sambil menghargai pelanggan setia Hock Kee Kopitiam.
Bagi menyertai kempen ini, pelanggan hanya perlu berbelanja minimum RM100 dalam satu resit di mana-mana cawangan Hock Kee Kopitiam yang mengambil bahagian.
Selepas membuat pembayaran, pelanggan boleh mendapatkan borang cabutan bertuah di kaunter pembayaran, melengkapkan maklumat yang diperlukan, melampirkan resit asal dan memasukkan borang tersebut ke dalam kotak cabutan bertuah rasmi yang disediakan di cawangan berkenaan.
Setiap resit yang memenuhi syarat melayakkan pelanggan menerima satu penyertaan cabutan bertuah.
Empat pemenang bertuah akan menerima Baucar Pelancongan Golden Destinations bernilai RM10,000 setiap satu yang boleh ditebus secara eksklusif untuk pakej pelancongan terpilih ke Seoul, Korea Selatan. Pemenang akan diumumkan menerusi sesi Facebook Live pada 5 Oktober 2026, manakala setiap baucar adalah sah digunakan selama setahun daripada tarikh pengeluaran.

Kempen ini melibatkan 20 cawangan Hock Kee Kopitiam di seluruh negara, termasuk beberapa lokasi di Kuala Lumpur dan Selangor seperti Bukit Bintang, Bangsar South, Kota Damansara, Shah Alam, Klang, The Gardens Mall dan i-City. Turut mengambil bahagian ialah cawangan di Johor seperti Sutera Utama, City Square Mall, Eco Botanic, Taman Molek dan Toppen Shopping Centre, selain Ipoh Parade di Perak serta AEON Kota Bharu di Kelantan.
Kerjasama ini menandakan permulaan hubungan strategik antara Hock Kee Kopitiam dan Golden Destinations dalam usaha menawarkan lebih banyak nilai tambah serta pengalaman eksklusif kepada pelanggan pada masa hadapan.
Untuk maklumat lanjut mengenai kempen dan lokasi cawangan yang mengambil bahagian, pelanggan boleh mengikuti saluran media sosial rasmi Hock Kee Kopitiam atau melayari laman web rasminya.








