Inisiatif Pembersihan Pantai dan Bawah Laut Nestlé Malaysia memasuki tahun ketujuh dengan pendekatan yang semakin meluas, merangkumi pemuliharaan alam sekitar, pendidikan komuniti dan penglibatan pihak berkepentingan dalam usaha melindungi kawasan pesisir pantai serta ekosistem marin Malaysia.
Dimulakan sebagai program pembersihan pantai pada 2019, inisiatif tersebut kini berkembang menjadi usaha jangka panjang yang menghimpunkan sukarelawan kakitangan, komuniti dan rakan kerjasama di seluruh negara.
Aktiviti yang dijalankan merangkumi pencarian dan pengutipan pukat hantu serta sisa marin, perlindungan terumbu karang dan pendidikan alam sekitar.
Perkembangan program ini turut didorong oleh pemerhatian yang dilakukan di beberapa lokasi pembersihan sepanjang beberapa tahun. Nestlé Malaysia dan rakan kerjasamanya melihat tanda-tanda positif termasuk pengurangan jumlah sampah yang dikutip di beberapa lokasi.
Menurut pihak penganjur, perkembangan tersebut menunjukkan tahap kesedaran yang lebih tinggi serta amalan pelupusan sisa yang lebih bertanggungjawab dalam kalangan komuniti tempatan.
Bagi program 2026, lebih banyak penekanan diberikan kepada pendidikan dan penglibatan komuniti. Di Pantai Kelanang, Selangor, aktiviti pemuliharaan alam sekitar digandingkan dengan sesi Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) mengenai kelestarian.
Sesi tersebut melibatkan penduduk Orang Asli dari Teluk Tongkah dan Permatang Buah Kelanang dengan memberikan panduan praktikal mengenai pengasingan sisa, kitar semula dan pelupusan yang bertanggungjawab.
Pendekatan ini bertujuan memperkasakan komuniti supaya dapat memainkan peranan secara aktif dalam melindungi alam sekitar untuk jangka panjang.
Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Juan Aranols, berkata pendekatan Menjana Nilai Bersama (CSV) yang diamalkan Nestlé bertujuan membawa perubahan positif kepada masyarakat dan alam sekitar.
Menurut beliau, kawasan pesisir pantai dan ekosistem marin merupakan khazanah alam yang menyokong punca pendapatan, keterjaminan makanan dan kepelbagaian biologi, sekali gus memerlukan tindakan berterusan, pendidikan serta komitmen bersama.
Beliau turut berkongsi pengalaman melihat sendiri keindahan dan kerapuhan persekitaran marin menerusi penglibatan bersama komuniti penyelam Nestlé.
Antara usaha pemuliharaan yang dijalankan termasuk mengalihkan tapak sulaiman mahkota berduri yang boleh mengancam terumbu karang serta mencari dan mengutip pukat hantu yang ditinggalkan oleh nelayan.
Menurut Juan, perkembangan program kini memberikan penekanan yang lebih besar kepada pendidikan dan keterlibatan komuniti kerana perubahan yang berkekalan memerlukan masyarakat diperkasakan untuk memainkan peranan aktif dalam melindungi persekitaran tempat mereka bergantung hidup.
Sebagai rakan alam sekitar jangka panjang Nestlé Malaysia bagi inisiatif tersebut, Pengasas Bersama dan Pengarah Program Impact Revolution Enterprise, Mohd Faisal Abdur Rani, berkata program berkenaan telah berkembang daripada usaha mencari dan mengutip sisa kepada sebuah platform yang lebih luas bagi meningkatkan kesedaran alam sekitar dan menggalakkan tindakan komuniti.
Beliau berkata, di beberapa lokasi yang menjalani aktiviti pembersihan secara konsisten, jumlah sisa yang dikutip didapati lebih rendah berbanding tempoh yang sama sebelum ini.
Walaupun faktor seperti keadaan air pasang surut, musim dan aktiviti pengunjung boleh mempengaruhi jumlah sisa yang terdapat di sesuatu lokasi, perkembangan tersebut dilihat sebagai tanda positif terhadap peningkatan kesedaran dan amalan pelupusan sisa yang lebih bertanggungjawab.
Selain Pantai Kelanang, program 2026 turut melibatkan komuniti di Kedah, Kelantan, Johor, Sabah dan Pahang dengan menggabungkan aktiviti pembersihan pesisir pantai dan pemuliharaan bawah laut.
Di Pulau Tioman, Nestlé Malaysia bekerjasama dengan Jabatan Perikanan Malaysia dan Reef Check Malaysia bagi mencari dan mengutip tapak sulaiman mahkota berduri sebagai sebahagian daripada usaha memulihara terumbu karang.

Bagi keseluruhan aktiviti yang dijalankan pada tahun ini, hampir 400 sukarelawan telah mengumpulkan sebanyak 1,259.51 kilogram sisa.
Jumlah keseluruhan sisa yang berjaya dikumpulkan menerusi inisiatif tersebut sejak ia dimulakan pada 2019 kini mencecah hampir 18 tan.
Inisiatif Pembersihan Pantai dan Bawah Laut ini merupakan sebahagian daripada platform sukarelawan Nestlé Sayang Komuniti yang membolehkan kakitangan Nestlé memberikan sumbangan secara langsung kepada usaha berkaitan komuniti dan alam sekitar.
Melalui kerjasama dengan komuniti tempatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor awam, Nestlé Malaysia meneruskan usaha menjana nilai bersama demi kesejahteraan masyarakat dan kelestarian alam sekitar.












