Berilah apa sahaja watak kepada Zahiril Adzim, pasti penonton akan terbawa-bawa untuk mempercayai setiap karakter yang dibawakan dengan penuh cemerlang. Selepas mencuit hati khalayak menerusi watak Amir Daniel dalam Libang Libu dan menerima reaksi positif daripada penonton, kali ini Zahiril tampil dengan kelainan menerusi perjalanan karakter terbaharunya.
Menerusi drama Bapa Mentuaku Mafia arahan Afiza Asram, Zahiril diberi tanggungjawab membawakan watak Ustaz Takdir, seorang ustaz muda yang santai, mudah didekati dan memiliki sisi humor tersendiri. Menurut Zahiril, walaupun cerita dan karakternya bersifat komedi, dirinya sebenarnya seorang yang serius dan tidak pernah melawak dalam kehidupan seharian.

Tambahnya lagi, watak Takdir sangat menarik kerana menampilkan sisi seorang ustaz yang tidak klise seperti yang sering dibayangkan penonton. Katanya, imej ustaz masa kini juga semakin dekat dengan golongan muda, dengan pendekatan yang lebih santai dan mudah diterima demi menarik perhatian generasi tersebut. Zahiril turut berseloroh bahawa dia berharap dapat membawakan watak ustaz itu dengan baik memandangkan “bapa mentuanya” dalam drama tersebut merupakan seorang mafia.

Drama ini turut dibintangi Siti Hariessa, Dato’ Razak Ahmad, Auni Yusri, Nafiez Zaidi, Shweta Shekon, Aishah Atan dan Haeriyanto Hassan. Ketika diusik mengenai sikap latahnya di dunia realiti, Zahiril menjawab dengan tenang dan berseloroh bahawa semua dakwaan itu hanyalah “hikayat rakyat” dan dongeng semata-mata walaupun terdapat bukti nyata.
Bapa Mentuaku Mafia mula ditayangkan pada 13 Mei 2026 di Astro Ria setiap Rabu dan Khamis, jam 9 malam. Drama ini mengisahkan Ustaz Takdir, seorang ustaz bertauliah yang dikenali kerana sifatnya yang bijak dan mencuit hati. Selepas kehilangan ayah ketika zaman persekolahan, Takdir tinggal bersama ibunya dan pada awalnya setia kepada cinta hatinya, Murni. Namun kehidupannya berubah apabila ketua mafia bernama Zack memaksanya berkahwin dengan anak perempuannya, Melissa, dengan harapan Takdir mampu mengubah kehidupan keluarga mereka.
Dalam drama ini, Takdir yang merupakan seorang ustaz muda disegani terpaksa mengharungi kehidupan penuh cabaran apabila dipaksa memasuki dunia mafia yang sarat dengan kuasa, rahsia dan konflik kesetiaan. Kehadiran Melissa serta cinta lamanya, Murni, menjadikan perjalanan hidup Takdir semakin rumit. Pada masa sama, dia turut membawa misi untuk mengubah takdir hidup Dato’ Zack dan membuka lembaran baharu buat keluarga tersebut. Kisah ini disampaikan dengan elemen humor, ringan dan menyentuh emosi, sekali gus memberikan hiburan serta mesej keinsafan kepada penonton.