“JIWA UPSI: Keluarga Teguh, Institusi Unggul” Perkukuh Budaya Kekeluargaan Warga Universiti

Penyediaan kira-kira dua tan durian menjadi tarikan utama Sambutan Hari Keluarga sempena Perhimpunan Bulanan Edisi Julai 2026 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), sekali gus mencipta suasana meriah dalam kalangan warga universiti serta ahli keluarga yang hadir.

Program bertemakan “JIWA UPSI: Keluarga Teguh, Institusi Unggul” itu dianjurkan sebagai usaha memperkukuh budaya kekeluargaan dalam kalangan warga universiti, selain menanam nilai kebersamaan yang menjadi asas kepada kecemerlangan sesebuah institusi.

Abdul Puhat (tiga dari kanan) ketika membelah buah durian pada majlis Sambutan
Hari Keluarga UPSI sambil disaksikan oleh barisan pengurusan tertinggi universiti di Dataran
Cemerlang Bersama, Kampus Sultan Azlan Shah.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UPSI, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata, sambutan Hari Keluarga tersebut mencerminkan komitmen universiti dalam membina hubungan erat antara warga kerja serta ahli keluarga yang sentiasa menjadi sumber sokongan utama.

Menurut beliau, kejayaan sesebuah institusi bukan sahaja bergantung kepada pencapaian akademik dan prestasi kerja, malah turut dipengaruhi oleh kekuatan hubungan sesama warga serta penghayatan nilai Jujur, Integriti, Wibawa dan Amanah (JIWA UPSI).

Abdul Puhat (dua dari kanan) bersama Md Amin (tiga dari kanan) memegang
buah durian bersama barisan pengurusan tertinggi universiti pada majlis Sambutan Hari
Keluarga UPSI di Dataran Cemerlang Bersama, Kampus Sultan Azlan Shah.

“Sambutan Hari Keluarga ini menjadi platform untuk mengeratkan silaturahim, memupuk semangat kekitaan dan menghargai peranan ahli keluarga yang sentiasa menjadi sumber kekuatan kepada setiap warga UPSI,” katanya ketika merasmikan program tersebut di Dataran Cemerlang Bersama, Kampus Sultan Azlan Shah.

Beliau turut berharap semangat kebersamaan yang diterapkan menerusi program berkenaan dapat terus diperkukuhkan bagi melahirkan organisasi yang lebih cemerlang, harmoni dan berdaya saing.

Dalam majlis sama, Abdul Puhat turut melancarkan Corporate Heritage Video bertajuk Lensa Evolusi: Ibu Kandung Suluh Budiman yang memaparkan perjalanan sejarah UPSI bermula daripada era Sultan Idris Training College (SITC) sehingga berkembang menjadi sebuah universiti pendidikan terkemuka negara.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, penyediaan dua tan durian bukan sahaja bertujuan meraikan warga universiti, malah menjadi tanda penghargaan kepada mereka yang bersama-sama membangunkan UPSI.

Beliau berkata, inisiatif tersebut turut memberi sokongan kepada pemilik kebun durian yang berdepan cabaran akibat lambakan hasil pada musim durian kali ini.

Md Amin (tengah) bergambar bersama kakitangan dan pelajar sambil memegang
buah durian pada majlis Sambutan Hari Keluarga UPSI di Dataran Cemerlang Bersama,
Kampus Sultan Azlan Shah.

“Dengan sedikit tanda penghargaan daripada UPSI sendiri, dua tan durian yang kita beli bukan sahaja untuk meraikan warga universiti, malah sebagai sokongan kepada pemilik kebun durian yang terjejas akibat lambakan hasil,” katanya.

Menurut beliau, budaya kekeluargaan sentiasa menjadi identiti UPSI sehingga menjadikan universiti itu bukan sekadar tempat bekerja, tetapi sebuah institusi yang menyatukan seluruh warganya sebagai satu keluarga besar.

Katanya, warga UPSI membawa nilai Jiwa Ketakwaan, Jiwa Kekeluargaan, Jiwa Keinsanan, Jiwa Kecemerlangan dan Jiwa Pendidik yang terus menjadi tunjang dalam membentuk persekitaran kerja yang positif.

Selain durian, warga universiti turut berkongsi pelbagai buah-buahan tempatan seperti manggis, cempedak, pisang dan rambutan yang mencerminkan budaya saling berkongsi serta semangat kekeluargaan dalam komuniti UPSI.

Sambutan Hari Keluarga UPSI turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk senamtari, Pertandingan Koyak Durian, Pertandingan Makan Buah-Buahan Terpantas, Pertandingan Teka Berat Buah, Pertandingan e-Sports serta Pertandingan Memasak Cekodok Pisang.

Melalui penganjuran program seperti ini, UPSI terus memperkukuhkan hubungan antara warga universiti sambil menyemai nilai kebersamaan yang menjadi pemangkin kepada pembangunan institusi yang lebih unggul pada masa hadapan.