Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) mengumumkan kejayaan menerbitkan SRI Sukuk Kelestarian Air Selangor (SRI KAS) tranche ke-6 dan terbesarnya bernilai RM1.2 bilion. Terbitan ini merangkumi empat (4) siri dengan tempoh dari sepuluh (10) ke dua puluh lima (25) tahun menandakan lengkapnya terbitan terkini ke-7 Air Selangor di bawah Program Sukuk Murabahah RM10.0 bilion.
Minat luar biasa dilihat daripada permulaan pengumuman terbitan tersebut sehingga mencatatkan lebihan langganan ketara sebanyak 4.95 kali ganda semasa buku ditutup.
“Kami sangat gembira dengan hasil dan sokongan padu pelabur seperti yang ditunjukkan dalam lebihan langganan luar biasa sebanyak 4.95 kali ganda. Ia adalah bukti keyakinan berterusan pelabur terhadap kredit dan pengiktirafan Air Selangor serta sokongan merekaterhadap agenda kemampanan kami. Hasil daripada terbitan itu akan membolehkan kami selari dengan aspirasi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan seterusnya mengukuhkan pelaburan dalam peningkatan margin rizab air, mengurangkan air bukan hasil dan memastikan operasi infrastruktur air kami yang berterusan, lebih cekap dan hijau,” kata Adam Saffian Ghazali, Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor.
Disokong oleh permintaan kukuh yang diagregatkan kepada jumlah signifikan RM5.9 bilion, tawaran itu meningkat sebanyak 20% daripada RM1.0 bilion kepada RM1.2 bilion. Sokongan luar biasa ini telah menjadikan SRI KAS ke-6 Air Selangor sebagai piawaian baharu ntuk terbitan Sukuk AAA. Hasil daripada SRI KAS ini akan digunakan untuk membiayai projek yang layak selaras dengan keutamaan Matlamat Pembangunan Mampan Air Selangor dan Rangka Kerja Sukuk Kelestarian Pembangunan Mampannya. Projek-projek ini termasuk inisiatif bekalan air lestari dan pelbagai projek pengurusan air lestari termasuk inisiatif tenaga boleh diperbaharui yang mengukuhkan komitmen Air Selangor untuk memastikan Kelestarian sistem bekalan air untuk generasi akan datang.
Program Sukuk Murabahah di mana SRI KAS dikeluarkan telah mengesahkan penarafan jangka pendek AAA masing-masing dengan prospek stabil dan P1 oleh RAM Rating Services Sdn Bhd pada 11 September 2023.
Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) merupakan Penasihat Utama, Penyusun Utama dan Penasihat Syariah bagi Program Sukuk Murabahah. Bank Islam dan CIMB Investment Bank Berhad adalah Pengurus Utama Bersama bagi terbitan SRI KAS Air Selangor danmemainkan peranan penting dalam kejayaannya.