Aryan Putra Entertainment (APE) terus memperluas penglibatannya dalam industri muzik tempatan menerusi penghasilan dua karya baharu yang menampilkan penyanyi Pasya dan UChop Ahmad sebagai antara artis yang bekerjasama dengan label berkenaan.
Menerusi single “Tak Tertanggung Lagi”, Pasya tampil dengan karya yang mengangkat kisah keretakan hubungan, persahabatan dan emosi manusia. Lagu ciptaan Aryan Putra dengan lirik tulisan beliau sendiri itu diterbitkan oleh Rudy Nastia dari Mixbro Studio.
Bukan sekadar menyampaikan lagu menerusi nyanyian, Pasya turut diberikan peluang meneroka pengalaman lakonan dalam muzik video arahan Esham Shahlin. Pengalaman tersebut menjadi cabaran baharu buatnya kerana memerlukan penghayatan emosi dan pemahaman watak yang lebih mendalam.
Sementara itu, UChop Ahmad pula tampil dengan single “Aku Tekad”, sebuah karya yang membawa mesej tentang kekuatan diri, tanggungjawab keluarga dan keberanian untuk bangkit selepas melalui pelbagai cabaran kehidupan.
Lagu yang turut dicipta bersama Aryan Putra itu menggambarkan perjalanan seorang individu yang berusaha membina semula kehidupannya serta meneruskan impian meskipun berdepan kesukaran.
Muzik video “Aku Tekad” yang diarahkan oleh Esham Shahlin turut mengetengahkan elemen pengalaman peribadi, keluarga dan persahabatan bagi menghidupkan mesej lagu tersebut.
Kedua-dua karya ini diterbitkan menerusi kerjasama APE dan A*CAP (Archive Capital), sekali gus memperlihatkan usaha label berkenaan dalam membangunkan bakat serta memperkenalkan karya muzik tempatan kepada khalayak lebih luas.
Diasaskan oleh pasangan suami isteri Sufian bin Mohat dan Siti Maryam binti Fadil dari Limbang, Sarawak, APE turut membawa aspirasi untuk mengetengahkan identiti budaya tempatan sambil meneroka peluang kerjasama dalam industri muzik nasional.
Melalui penglibatan Pasya dan UChop Ahmad, APE berharap dapat terus membuka ruang kepada penghasilan karya yang mempunyai identiti tersendiri serta dekat dengan pendengar.












