“Kita tidak boleh bekerja sendirian. Sebagai sebuah badan sukarelawan yang prihatin, kita perlu perkukuhkan semua cawangan di seluruh negara termasuk bekerjasama dengan pelbagai pihak,” kata Presiden Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Sinar Harapan Batu Pahat, Klaus Lim (DNS).
Klaus Lim, yang berusia 36 tahun dan lebih dikenali sebagai ‘Abang Susu’, menekankan pentingnya kerjasama antara cawangan untuk memperluas jangkauan bantuan. Beliau percaya bahawa dengan kerjasama ini, pertubuhan akan dapat melaksanakan lebih banyak program dengan matlamat yang jelas dan berterusan.
“Kerjasama ini bukan sahaja membolehkan pengumpulan dana yang lebih efektif tetapi juga memastikan dana tersebut dapat disalurkan kepada golongan memerlukan seperti rumah anak yatim, rumah penjagaan orang tua, dan banyak lagi yang berdasarkan keperluan komuniti,” jelas Klaus.
Klaus turut menambah bahawa inisiatif ini dapat membantu meringankan beban Kerajaan serta menyeru semua cawangan untuk bergiat aktif dengan menjalinkan kerjasama dengan pihak-pihak berkaitan termasuk badan bukan kerajaan (NGO) lain. Ini bertujuan untuk memberikan bantuan yang lebih tersasar mengikut keperluan masyarakat.
Setakat ini, Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Sinar Harapan Batu Pahat mempunyai cawangan di pelbagai lokasi di seluruh negara seperti Teluk Intan (Perak), Melaka, Muar (Johor), Nilai (Negeri Sembilan), Pulau Pinang, Kelantan, Kuantan, Miri, Kuching (Sarawak), Ipoh (Perak), Klang (Selangor), dan Johor Bahru. Selain itu, pertubuhan ini juga mempunyai cawangan di luar negara, termasuk Thailand dan Cambodia, untuk membantu rakyat yang memerlukan bantuan di kawasan tersebut.
Menurut Klaus, pengumpulan dana yang melibatkan semua cawangan membolehkan pihaknya menganjurkan pelbagai aktiviti sosial, termasuk membantu golongan memerlukan melalui kategori bantuan yang spesifik. Salah satu contoh adalah program khidmat sosial masyarakat (CSR) yang telah dilaksanakan untuk membantu kanak-kanak yang menghadapi penyakit jantung, jantung berlubang, dan kanser mendapatkan rawatan di hospital.
“CSR yang diadakan ini bukan hanya sekadar membantu masyarakat, tetapi juga mempunyai misi untuk menghulurkan lebih banyak bantuan kepada komuniti. Pada masa yang sama, ia dapat menyemai sikap kasih sayang dalam kalangan masyarakat dan menarik minat mereka untuk turut serta dalam usaha membantu,” ujar Klaus.
Dengan usaha yang berterusan dan kerjasama yang erat antara semua cawangan serta pihak berkaitan, Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Sinar Harapan Batu Pahat berkomitmen untuk terus meningkatkan usaha mereka dalam membantu golongan yang memerlukan dan memberi impak positif kepada masyarakat.