Syarikat ekosistem peranti AI terkemuka global, HONOR, hari ini meraikan ulang tahun kelima di Malaysia dengan menghargai pengguna yang memainkan peranan penting dalam kejayaannya menduduki tangga teratas pegangan pasaran telefon pintar tempatan. Pencapaian ini diraikan semasa majlis HONOR of Malaysia 5th Anniversary Gala yang menghimpunkan pengguna setia HONOR, peminat, rakan kongsi, jurugambar, dan pelajar. Majlis ini menegaskan bahawa kejayaan HONOR dibina seiring dengan sokongan pengguna Malaysia dalam landskap teknologi yang sangat kompetitif.
Gala tersebut turut mengiktiraf pengguna yang memberikan sokongan dan penglibatan berterusan kepada pertumbuhan HONOR sejak awal kemunculannya di Malaysia. Individu cemerlang diraikan melalui lapan kategori anugerah, yang mencerminkan peranan mereka dalam membentuk pembangunan produk, memperkukuh ekosistem HONOR, serta menyumbang secara positif kepada komuniti yang lebih luas.
Pencapaian HONOR sebagai telefon pintar dan tablet nombor satu dalam pegangan pasaran berdasarkan jualan kepada pengguna pada S4 2025 menandakan kemuncak perjalanan lima tahun yang luar biasa, yang didorong oleh ketahanan dan kepercayaan pengguna. Kejayaan ini merupakan hasil langsung daripada inovasi berterusan HONOR serta sokongan padu komuniti tempatan.
Presiden HONOR Pasifik Selatan, Justin Li, berkata perjalanan ini penuh cabaran tetapi membuahkan kejayaan kerana HONOR kekal berteraskan pengguna, seolah-olah mencapai kemajuan sedekad dalam hanya lima tahun. “Hari ini amat bermakna kerana HONOR telah menjadi ‘Pilihan Utama Rakyat Malaysia’. Kami amat berterima kasih kepada komuniti yang terus berdiri teguh bersama kami, berkongsi produk dan falsafah kami dengan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi,” katanya.

Li juga menekankan bahawa kestabilan dan daya tahan produk HONOR adalah hasil penciptaan bersama rakyat Malaysia. Ekosistem HONOR bukan dibangunkan semata-mata di makmal, sebaliknya diperkemas melalui ujian dunia nyata serta maklum balas daripada pengguna beta tempatan, jurugambar, dan pelajar. Anugerah yang diberikan semasa gala menghargai penyumbang penting ini, yang berkongsi pandangan mereka dan memastikan teknologi HONOR terus memenuhi keperluan khusus para pengguna.
Sempena malam gala, HONOR turut mengumumkan pelancaran ‘HONOR of Malaysia Awards Project’, sebuah inisiatif tanggungjawab sosial korporat jangka panjang untuk mengiktiraf rakyat Malaysia biasa yang menumpukan hidup mereka untuk berkhidmat kepada masyarakat. Inisiatif ini mencerminkan komitmen HONOR untuk menyumbang secara bermakna kepada Malaysia ketika negara melangkah ke fasa pertumbuhan seterusnya. Pelancaran projek ini disempurnakan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching, bersama Justin Li.

Dalam fasa sulung program ini, HONOR bersama rakan media mengiktiraf tiga individu sebagai penerima anugerah ‘HONOR of Malaysia’, iaitu Mohd Adli Yahya, Cikgu Prakash, dan Mak Jah. Penyampaian anugerah tersebut telah disempurnakan oleh Dato’ Abdul Majid Ahmad Khan, mantan Duta Besar Malaysia ke China (1998–2006). Li berkata, “Seiring dengan perkembangan berterusan HONOR di Malaysia, kami mahu mengakar lebih kukuh dan beralih daripada jenama pilihan rakyat Malaysia kepada tonggak masyarakat. Menerusi visi ‘HONOR of Malaysia’, kami mahu menyokong wira tidak didendang yang memberikan sumbangan besar secara senyap kepada komuniti.”
Mohd Adli Yahya ialah pengasas Autism Cafe Project (ACP), yang ditubuhkan pada 2016 bagi menyediakan masa depan lebih baik untuk anak lelaki dan individu autistik lain. Setakat ini, ACP telah menyokong lebih 100 individu autistik dengan menyediakan persekitaran selamat untuk pembangunan kemahiran, berdikari, dan peluang pekerjaan inklusif, serta memberi inspirasi kepada keluarga di seluruh negara.
Prakash Surriyamurthy, atau Cikgu Prakash, ialah guru tuisyen sepenuh masa yang berulang-alik menaiki kereta api di sekitar Lembah Klang untuk mengajar Bahasa Melayu dan Sejarah kepada pelajar sekolah menengah sejak 16 tahun lalu. Walaupun mengalami cacat penglihatan, dedikasinya terhadap pendidikan dan komitmen teguh kepada pelajarnya terus menjadi inspirasi.
Siti Normala Adrus, atau Mak Jah, mengusahakan gerai makanan sederhana yang menawarkan nasi campur RM3 serta menyediakan makanan percuma untuk pelajar setiap Selasa sebagai memperingati ahli keluarga yang telah meninggal dunia. Berteraskan sifat ihsan, bukan keuntungan, Mak Jah memastikan makanan berkhasiat dapat dinikmati oleh komuniti berpendapatan rendah dan menjadi tonggak sokongan bagi mereka yang memerlukan.
Bagi menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, HONOR akan melancarkan Jelajah Fotografi Kebangsaan menampilkan landskap Malaysia, warisan budaya, dan kisah harian melalui fotografi mudah alih. Program ini menggalakkan jurugambar meneroka destinasi popular, menyertai bengkel, dan aktiviti setempat. Hasil karya terpilih akan dipamerkan di peringkat antarabangsa sempena Pameran Global HONOR 2026. Penyertaan akan diumumkan di halaman Facebook rasmi HONOR Malaysia.
Ketika melangkah ke fasa baharu di Malaysia, HONOR kekal fokus untuk membina pengalaman teknologi yang bermakna bersama pengguna sambil menyumbang secara positif kepada komuniti yang disokongnya. Untuk maklumat lanjut, sila layari halaman Facebook rasmi HONOR Malaysia.