
Filem cereka muzikal Islamik berjudul Masterpiece – Hidden Wonders Of The World arahan Imran Haji Ismail terbitan Phenomena Asia At Work Sdn Bhd dan My Jannah International Production Sdn Bhd kini telah siap sepenuhnya untuk tayangan umum. Filem ini bakal menemui penonton melalui skim Wajib Tayang FINAS dalam masa terdekat selepas menerima kelulusan rasmi daripada Lembaga Penapisan Filem Malaysia. Kelulusan tersebut sekaligus mengesahkan karya ini untuk dipersembahkan kepada umum sebagai sebuah produksi yang membawa pendekatan berbeza dalam industri perfileman tempatan. Ia turut mencatat sejarah sebagai antara filem berkonsepkan Islamik yang unik dan pertama seumpamanya diterbitkan di Malaysia.
Idea penerbitan filem ini mengetengahkan pendekatan luar biasa dengan menggabungkan enam surah pilihan daripada kitab suci Al-Quran iaitu Surah Al-Fatihah, Al-Kahfi, Yassin, Al-Waqiah, Ar-Rahman dan Al-Mulk. Setiap bacaan surah ini diiringi lantunan murottal oleh Imam Yusuf Rebu Al-Muqri’ yang memberikan dimensi spiritual mendalam kepada keseluruhan penceritaan. Gabungan elemen murottal dan keindahan sinematografi lokasi di Langkawi menjadikan filem ini sebuah karya yang sarat dengan nilai estetika dan keinsafan. Ia turut dirangka sebagai sebuah pengalaman sinematik yang mengangkat mesej ketuhanan dan keindahan alam semesta.

Pihak penerbit menyifatkan Masterpiece sebagai sebuah karya agung untuk ummah yang menggabungkan seni, dakwah dan hiburan dalam satu medium. Filem ini diharap dapat memberi impak positif kepada penonton bukan sahaja dari segi hiburan, malah turut menyentuh aspek rohani dan spiritual. Dengan pendekatan yang berbeza daripada kebiasaan, ia menjadi satu usaha memperluaskan lagi ruang kreativiti dalam industri filem Islamik. Penerbit turut berharap karya ini mendapat sokongan daripada semua lapisan masyarakat.
Majlis pelancaran dan pra-pemasaran filem ini turut diserikan dengan beberapa pengisian rasmi yang berlangsung mengikut atur cara. Acara dimulakan dengan ucapan penerbit pada jam 2.55 petang yang disampaikan oleh Dato’ Ts. Sharin Sabu. Seterusnya, sesi ucapan alu-aluan daripada pengurusan Crowne Plaza Hotel oleh General Manager turut berlangsung pada jam 3.00 petang. Program diteruskan dengan ucapan perasmian pra-pemasaran oleh Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS pada jam 3.10 petang.
Majlis kemudiannya menyaksikan acara menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara syarikat produksi bersama beberapa rakan strategik industri. Antara pihak yang terlibat ialah Yayasan Madad yang diwakili oleh Dato’ Mohd Azuan Dato’ Haji Zainol selaku pengerusi, jenama OMAR ALI yang diwakili oleh Tuan Sulaiman Idris selaku pengarah, Syarikat Spectra Sdn. Bhd. yang diwakili oleh Dato’ Halim Rosman, serta RFC Holding Sdn. Bhd. Sesi ini menandakan kerjasama strategik dalam memperkukuhkan lagi hala tuju dan promosi filem tersebut.

Acara diteruskan dengan persembahan istimewa lantunan murottal secara langsung oleh Imam Muhammad Yusof Rebu Al-Muqri’ yang mempersembahkan salah satu daripada enam surah utama yang diketengahkan dalam filem ini. Persembahan tersebut turut diserikan dengan visual babak filem yang dipaparkan kepada para hadirin, memberikan pengalaman imersif yang menggabungkan audio dan visual secara harmoni. Majlis diakhiri dengan tayangan OST filem bertajuk Qasidah Madani yang menjadi pelengkap kepada keseluruhan acara pelancaran tersebut.