Nestlé Malaysia dan UPM Lancar Program Halal@STEM, Dorong Peluang Pendidikan untuk Generasi Muda

Nestlé Malaysia, sebagai sebahagian daripada komitmennya terhadap Halal dan usaha memperkasakan generasi muda, telah menjalin kerjasama strategik dengan Universiti Putra Malaysia untuk memperkenalkan program Halal@STEM kepada pelajar sekolah menengah. Program ini telah dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Baru, Melaka, memberikan peluang kepada pelajar untuk meneroka aplikasi sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dalam konteks industri Halal secara lebih dekat dan praktikal.

Inisiatif Halal@STEM, yang dibangunkan bersama Institut Penyelidikan Produk Halal UPM, menekankan peranan sains dan teknologi dalam memastikan integriti Halal sepanjang keseluruhan rantaian nilai pembuatan makanan dan minuman, daripada pemilihan bahan mentah dan proses pengeluaran sehingga kepada jaminan kualiti dan keyakinan pengguna. Melalui inisiatif ini, Nestlé Malaysia memanfaatkan kepakaran industrinya untuk memperkenalkan ilmu Halal yang sebenar kepada pelajar.

Nasrul Hadi Mohamed Nor, Ketua Hal Ehwal Halal Nestlé Malaysia, berkata, “Program Halal@STEM mencerminkan pendekatan kami dalam mendekati golongan muda mengenai kepentingan Halal secara lebih bermakna. Di Nestlé, Halal bukan sekadar pematuhan, tetapi berasaskan sains, kualiti, keselamatan dan tanggungjawab etika. Sebagai pengeluar Halal terbesar dalam kumpulan Nestlé dan Pusat Kecemerlangan Halal, kami membawa kepakaran ini ke dalam program ini. Melalui gabungan pendidikan STEM dan prinsip Halal, pelajar dapat memahami bagaimana sains dan teknologi menyokong integriti Halal serta membuka ruang kepada peluang kerjaya masa hadapan dalam sektor ini.”

Puan Nor Hafizah binti Musa, Pengetua SMK Bukit Baru, Melaka, berkata, “Kami amat mengalu-alukan pelaksanaan program Halal@STEM di sekolah ini. Pendekatan pembelajaran secara interaktif berjaya meningkatkan minat murid terhadap STEM dan membantu mereka melihat kaitannya dengan aplikasi dunia sebenar, khususnya dalam industri Halal. Program ini memberikan pengalaman pembelajaran yang bermakna di luar bilik darjah serta menyokong persediaan pelajar menghadapi masa depan, sekaligus mengoptimumkan potensi murid SMK Bukit Baru untuk menjadi warganegara global selaras dengan teras strategik Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035.”

Seramai 174 murid telah menyertai sesi interaktif mengenai topik-topik STEM termasuk penelitian pengesahan Halal, membezakan bulu sintetik dan haiwan, membangunkan aplikasi mudah alih untuk mengesahkan produk Halal, menggunakan mesin Kecerdasan Buatan (AI), menghasilkan sabun Sertu, mencipta penapis air dan mengira panel nutrisi. Semua aktiviti ini menjelaskan konsep STEM sambil memaparkan peranan langsungnya dalam pematuhan, kualiti dan inovasi Halal.

Hazin Irfan Bin Mohd Norhakim, salah seorang pelajar yang menyertai program ini, berkata, “Aktiviti yang diadakan memang menyeronokkan dan berbeza daripada pembelajaran biasa. Saya belajar bahawa STEM bukan sahaja berkaitan dengan sains dan teknologi, malah merangkumi bidang seperti pembuatan makanan. Saya juga memahami bahawa Halal dalam STEM adalah tentang memastikan makanan bersih, selamat, Halal, berkhasiat dan bermutu tinggi. Program ini juga mengajar saya memahami cara membaca label pemakanan serta kepentingannya dan bagaimana STEM memainkan peranan dalam pilihan harian kita.”

Program di Melaka ini menyusuli kejayaan projek perintis di SMK Pelagat, Terengganu, dan merupakan langkah seterusnya dalam usaha Nestlé Malaysia untuk meluaskan pendidikan Halal STEM di seluruh negara. Inisiatif ini turut menyokong aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia untuk meningkatkan kesedaran Halal serta kecekapan STEM di sekolah, sekaligus menyokong pembangunan bakat yang relevan dengan keperluan industri. Melalui perkongsian kepakaran industri dan aplikasi dunia sebenar, program ini membuka perspektif baharu kepada pelajar mengenai potensi luas ekosistem Halal Malaysia yang semakin berkembang.