NU IDEAKTIV SINGKAP POLEMIK KESUNYIAN DAN SOKONGAN SOSIAL PELBAGAI BUDAYA DI DALAM FILEM PENDEK, “PANGSA”.

Sambutan Aidilfitri tahun ini akan menjadi lebih meriah dengan kemunculan sulung filem pendek Raya dengan nama “PANGSA,” yang diterbitkan oleh Nu Iideaktiv dan 17 jenamanya, yang kesemuanya mempunyai pengalaman industri lebih 40 tahun.

Dengan membawa mesej utama mengenai kepentingan Silaturahim di dalam komuniti walau berbeza budaya, bangsa dan agama, Nu Ideaktiv merasakan topik ini begitu dekat dengan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan ianya bakal melekat di hati setiap penonton.

Filem pendek Raya ini mengisahkan bagaimana Amir yang berasal dari Sarawak, hidup di perantauan dan menyewa di sebuah unit rumah ‘PANGSA’, di Semenanjung Malaysia.

PANGSA, bermaksud petak, atau bahagian bahagian di dalam buah buahan, atau ruang kediaman, boleh membawa pelbagai interpretasi mengikut naratif yang mahu diceritakan.

Watak Amir yang dibintangi oleh Ideen Azman, menceritakan bagaimana seorang pemuda yang pendiam, dan sentiasa bersendirian, tinggal di rumah ‘PANGSA’ yang dihuni oleh sebuah komuniti majmuk yang mengambil berat tentang satu sama lain, dengan cara dan keunikan sifat yang tersendiri.

Di pengakhiran filem pendek ini, Amir akhirnya sedar akan kepentingan untuk ber-Silaturahim, dan merapatkan jurang di dalam komuniti.

Menurut, Ketua Unit Penyelidikan, Pembangunan dan Kandungan Strategik Nu Ideaktiv Sdn Bhd, yang juga merupakan Pengarah Lakonlayar ‘PANGSA’, jalan cerita filem pendek ini tampak mudah dan selari, namun ianya tidaklah selurus yang disangka.

“PANGSA membawa segumpal rasa yang mempunyai banyak percikan warna dan emosi di dalamnya. Bagaimana di dalam sebuah ruang, terdapat banyak rasa yang terkumpul dan bagaimana pula di celahan keriuhan itu, wujud sifat emosi yang bungkam, yang hanya mahu teruskan kehidupan berseorangan, dan kalau boleh, tidak mahu ber-Silaturahim, namun, tetap diraikan. Filem pendek ini juga memaparkan isu yang begitu dekat dengan generasi muda kini, terutamanya setelah kita melalui fasa COVID-19. Ramai orang lebih memilih untuk bersendiri dan tidak berkongsi rasa dan kesukaran hidup dengan orang lain dan sejurus itu membawa kepada pelbagai masalah kesihatan mental yang lain. Selain itu, kami juga sebaik mungkin cuba lakarkan kecantikan dan kehalusan peribadi budaya kaum lain yang sudah lama hidup harmoni dan penuh dengan sifat toleransi bersama sama. Saya berharap agar penonton dapat mengupas nilai-nilai murni yang kami terapkan di dalam filem pendek ini”, kata Che’AZ.

‘PANGSA’ turut menyentuh isu dalaman individu yang berpotensi untuk membawa kepada masalah kesihatan mental lain seperti, kemurungan, keresahan (anxiety), dan kejanggalan untuk bergaul dengan masyarakat.

“Di dalam filem pendek ini, kita tonjolkan karektor Amir sebagai seorang yang introvert iaitu pendiam, pemalu dan tidak bergaul dengan jiran tetangganya. Amir cuba untuk menghadkan pergaulan dan perbualannya dengan jiran jiran lain, dan hanya buat hal sendiri sahaja. Namun, tanpa Amir sedari, sebenarnya mereka ini (jiran tetangga), amat prihatin akan keadaan Amir yang berjauhan dari keluarga dan cuba untuk mengisi kekosongan itu. Menariknya di dalam filem ini, kita boleh lihat bagaimana kepentingan Silaturahim dapat mewarnai kehidupan Amir yang dulunya sunyi dan sentiasa bersendirian. Saya juga ingin menekankan bahawa inilah yang menjadi tunjang kami di Nu Ideaktiv, kami ingin memberi inspirasi yang membina komuniti melalui program, mahupun kandungan portal yang positif dan menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat, meliputi seluruh Nusantara”, kata Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn Bhd, Syamil Fahim Mohamed Fahim.

Filem pendek arahan bersama, Zuhdee Zaid dan Che’AZ ini, secara keseluruhannya digarap dengan menyelitkan nilai-nilai murni yang sarat dengan emosi yang menterjemahkan kepentingan cakna dengan keadaan sekeliling dan betapa pentingnya menjaga dan mengeratkan silaturahim di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Silaturahim itu mendekatkan yang jauh, menumbuhkan rasa kecintaan di dalam hati, bertamu di mata, dan selamanya di jiwa.

Filem pendek ‘PANGSA’ bakal ditayangkan di YouTube (https://youtu.be/dfI4ZdgeyBI)  pada 14 April 2023.

Jangan lupa tonton dan rasai sendiri kehangatan emosi di dalam filem pendek Raya ‘PANGSA’ ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *