UPSI Jalin Kerjasama Strategik Dengan Lima Syarikat Industri Untuk Perkasa Program 2u2i

Universiti Pendidikan Sultan Idris (Universiti Pendidikan Sultan Idris) melalui Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama lima rakan strategik industri dalam usaha memperkukuh hubungan antara dunia akademik dan sektor kreatif, media, komunikasi serta teknologi hijau.

Kerjasama ini melibatkan SKOP Productions Sdn. Bhd., Aaron Aziz Productions Sdn. Bhd., NOIR Health & Beauty Sdn. Bhd., AQ Energy dan Oh My Media Sdn. Bhd. yang masing-masing mewakili pelbagai sektor industri strategik.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata kolaborasi ini amat signifikan dalam menyokong pelaksanaan program Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Pembangunan Kandungan) dengan Kepujian yang menggunakan pendekatan 2u2i, iaitu gabungan pembelajaran di universiti dan pengalaman industri sebenar.

Beliau menjelaskan bahawa pendekatan tersebut memberi peluang kepada pelajar bukan sahaja memahami teori komunikasi dan media di dalam bilik kuliah, tetapi juga didedahkan secara langsung kepada ekosistem industri seperti penerbitan kreatif, pembangunan kandungan digital, media sosial, penjenamaan, pemasaran digital, produksi filem dan komunikasi korporat.

Menurut beliau lagi, MoU ini turut membuka ruang kepada pelajar untuk menjalani latihan industri, work-based learning, mentorship profesional, projek industri serta pembangunan portfolio yang lebih kompetitif dan relevan dengan keperluan pasaran semasa.

Sementara itu, wakil industri yang hadir turut menyatakan komitmen dalam memperkukuh pembangunan bakat muda, termasuk memberi pendedahan terhadap proses kerja sebenar seperti pembangunan idea, penulisan skrip, produksi, pengurusan kandungan digital serta strategi pemasaran dan komunikasi profesional.

Kerjasama strategik ini diharap dapat menjadi platform penting dalam melahirkan graduan yang lebih bersedia menghadapi cabaran industri kreatif dan ekonomi digital yang semakin berkembang pesat.