“The First Wave” Tanda Evolusi ALPHA Selepas Setahun Dalam Industri

ALPHA Raikan Ulang Tahun Pertama Dengan Pelancaran Album Sulung “The First Wave”

Selepas setahun mencipta fenomena dalam arena M-Pop tempatan, kumpulan sensasi ALPHA bakal meraikan satu lagi detik penting dalam perjalanan seni mereka menerusi pelancaran album studio penuh pertama berjudul “The First Wave”.

Lebih istimewa, pelancaran album ini diadakan bersempena ulang tahun pertama penubuhan ALPHA dan berlangsung pada 14 Jun 2026 di Pavilion Damansara Heights. Acara tersebut bukan sahaja menjadi platform memperkenalkan album sulung mereka kepada umum, malah menjadi medan meraikan perjalanan setahun yang penuh bermakna bersama para peminat yang sentiasa memberikan sokongan sejak hari pertama.

Dianggotai oleh Daniel, Izat, Rizal, Ariel, Araff, Ray-D dan Sky, ALPHA terus mengukuhkan kedudukan sebagai antara kumpulan lelaki paling menonjol dalam industri hiburan tempatan menerusi identiti muzik yang segar, persembahan bertenaga serta pengaruh yang semakin berkembang dalam kalangan peminat.

“The First Wave” merupakan album studio penuh pertama ALPHA sejak bernaung di bawah Rocketfuel Entertainment. Album ini menjadi simbol perkembangan, kematangan serta evolusi muzik mereka sepanjang tahun pertama dalam industri.

Mengandungi 12 buah lagu, album tersebut menghimpunkan pelbagai genre dan warna muzik yang mencerminkan kepelbagaian kebolehan ALPHA. Antara lagu yang dimuatkan termasuk “Mona Lisa (Bang Bang)”, “P. Ramlee Saloma”, “Bujang”, “Tiada Pengganti” serta single hit terkini mereka, “Gelato” yang menerima sambutan hangat daripada peminat.

Menerusi pengumuman yang dibuat di platform media sosial rasmi ALPHA, peminat juga bakal disajikan dengan beberapa karya baharu seperti “Mahkota Cinta”, “Gerak”, “Roman Empire”, “Dia” bersama AG Coco dan beberapa lagi lagu yang dijangka menjadi kegemaran ramai.

Antara karya yang paling mencuri perhatian sejak diumumkan ialah “Burn It Down”, sebuah lagu yang dirakamkan di Korea Selatan ketika ALPHA menjalani latihan intensif menerusi program “ALPHA Dreams Unlocked: Seoul Chapter” yang boleh ditonton di Astro GO.

Lebih menarik, lagu tersebut mendapat sentuhan komposer antarabangsa Daniel Caesar dan Candace Sosa yang pernah menghasilkan karya untuk beberapa nama besar K-Pop termasuk BTS, TOMORROW X TOGETHER dan ENHYPEN. Pengalaman berharga di Seoul bukan sahaja memperkasa kemampuan anggota ALPHA, malah membuka ruang untuk mereka bekerjasama dengan tenaga kreatif bertaraf antarabangsa.

Menurut Daniel Sher, album ini merupakan hadiah paling bermakna buat peminat yang sentiasa bersama ALPHA sepanjang tahun pertama mereka.

“Rasa macam baru semalam kami memulakan perjalanan ini bersama-sama. Dalam tempoh setahun, kami belajar banyak perkara, melalui pelbagai cabaran dan mencipta begitu banyak kenangan. ‘The First Wave’ adalah simbol kepada segala usaha dan pengorbanan yang telah kami curahkan sepanjang perjalanan ini dan kami mahu berkongsi momen istimewa ini dengan semua peminat yang sentiasa menyokong kami sejak hari pertama,” katanya.

Sementara itu, Izat Ibrahim berkata album tersebut memperlihatkan sisi ALPHA yang lebih matang serta kepelbagaian daripada segi muzik.

“Album ini sangat istimewa buat kami kerana setiap lagu membawa identiti dan emosi yang berbeza. Kami bereksperimen dengan pelbagai genre dan mempersembahkan sisi ALPHA yang mungkin belum pernah didengar sebelum ini. Kami benar-benar tidak sabar untuk mendengar reaksi peminat apabila mereka menikmati keseluruhan album ini buat pertama kali,” ujarnya.

Ray-D pula menyifatkan pelancaran “The First Wave” sebagai satu pencapaian besar buat kesemua anggota kumpulan tersebut.

“Bagi kami, album ini bukan sekadar koleksi lagu. Ia merakamkan perjalanan kami sebagai sebuah kumpulan, impian yang sedang kami kejar dan hubungan yang kami bina bersama peminat sepanjang setahun ini. Sebab itu kami sangat teruja untuk bertemu dan meraikan detik ini bersama mereka pada hari pelancaran nanti,” katanya.

Ketua Rocketfuel Entertainment, Mathan Rajasingam, menyifatkan pelancaran album ini sebagai satu pencapaian penting bukan sahaja buat ALPHA malah untuk perkembangan industri muzik tempatan secara keseluruhan.

“Dalam tempoh yang singkat, ALPHA telah membuktikan bahawa mereka memiliki potensi besar untuk berkembang sebagai sebuah kumpulan yang mampu membawa identiti M-Pop Malaysia ke tahap yang lebih tinggi. ‘The First Wave’ bukan sekadar album sulung mereka, tetapi juga manifestasi kepada dedikasi, disiplin dan kerja keras yang telah mereka tunjukkan sepanjang tahun lalu. Kami amat berbangga dengan pencapaian ini dan percaya ia hanyalah permulaan kepada lebih banyak kejayaan yang bakal menyusul,” katanya.

Bersempena pelancaran album tersebut, ALPHA turut melangkah lebih jauh apabila diumumkan sebagai duta jenama Sooka. Kerjasama ini membuka peluang kepada peminat untuk menikmati pengalaman hiburan yang lebih dekat, eksklusif dan menyeluruh bersama kumpulan itu.

Bermula 15 Jun 2026, Sooka memperkenalkan Pelan Sooka x ALPHA pada harga RM34.90 untuk tempoh tiga bulan. Pelan ini menawarkan akses kepada sehingga 79 saluran hiburan, lebih 50 mikrodrama, kandungan eksklusif ALPHA serta peluang memenangi sesi Meet & Greet, sesi hangout bersama ALPHA dan pelbagai barangan rasmi kumpulan tersebut.

Pelanggan juga bakal menikmati kandungan eksklusif seperti rakaman di sebalik tabir, temu bual khas serta muzik video kolaborasi antara Sooka dan ALPHA yang hanya boleh ditonton menerusi platform tersebut.

Dalam masa sama, sambutan luar biasa terhadap album sulung mereka turut menyaksikan sesi pertama pra-tempahan album dan barangan eksklusif ALPHA yang dibuka pada 6 Jun lalu habis dijual. Sesi kedua yang melibatkan penghantaran ke seluruh Malaysia dan Singapura akan dibuka selepas 15 Jun 2026.

Album fizikal “The First Wave” dijual pada harga RM89.90, manakala pakej bundle eksklusif yang mengandungi album fizikal, t-shirt, stokin, topi dan beg tote ditawarkan pada harga RM249.90.

Orang ramai dan para peminat dijemput hadir memeriahkan pelancaran album sulung ALPHA yang berlangsung di Aras 2, Center Court, Pavilion Damansara Heights dari jam 12 tengah hari hingga 9 malam. Pelancaran album “The First Wave” dianjurkan oleh Rocketfuel Entertainment dengan kerjasama Pavilion Damansara Heights serta disokong oleh Munchy’s Cream-O, Emina dan TikTok LIVE.