Dato’ M. Nasir & Marlia Musa Cari ‘Liu’: Ujibakat Teater Muzikal Terulung Kini Dibuka!

Satu khabar gembira buat para penggiat seni dan pencinta teater tanah air apabila legenda muzik hidup, Dato’ M. Nasir, mengumumkan pementasan teater muzikal terbaharu berjudul Mansur & Liu. Apa yang lebih istimewa, projek ini menyaksikan beliau buat julung kalinya ‘bersanding’ tenaga kreatif bersama srikandinya, Datin Marlia Musa, dalam menerbitkan sebuah naskhah yang penuh dengan elemen kesenian dan estetika yang tinggi.

Kini, misi utama Sang Pencinta adalah untuk menjejaki gerangan watak Liu, figura wanita yang menjadi tunjang utama dalam naskhah ini. Karakter Liu digambarkan sebagai seorang wanita yang mempunyai gerak tari yang gemalai, bicara penuh bijaksana, serta memiliki kemerduan suara yang mampu menggetarkan jiwa. Liu bakal menjadi pasangan kepada watak Mansur dalam sebuah pementasan yang dijangka bakal menjadi penanda aras baharu industri teater tempatan.

Menurut Datin Marlia Musa, mereka sangat teruja untuk merealisasikan impian ini menerusi pencarian bakat-bakat baharu. “Ini adalah teater muzikal pertama kami. Kami mahu melihat bakat-bakat segar membawa watak ini menjadi nyata di atas pentas nanti,” jelas beliau. Sesi ujibakat ini bukan sekadar mencari pelakon, tetapi meraikan sesiapa sahaja yang mempunyai bakat seni yang unik dan mirip dengan kriteria ‘Liu’ yang diimpikan oleh M. Nasir sendiri.

Sesi ujibakat terbuka M. Nasir Mencari Liu akan diadakan pada 15 Mei 2026 bermula jam 3 petang bertempat di Club Chinois, LG Floor, JW Marriott Hotel Kuala Lumpur. Calon yang berjaya melepasi saringan awal akan dihubungi untuk menghadiri fasa seterusnya (panggilan semula) pada keesokan harinya, 16 Mei 2026 di lokasi yang sama.

Bagi mereka yang ingin menyahut cabaran ini, anda boleh mendaftar melalui pautan berikut: Borang uji bakat: https://forms.gle/TzDe8oV1s2X3Q8MTA

Peluang ini terbuka luas bagi individu yang yakin memiliki “hati emas” dalam bidang lakonan, tarian, dan nyanyian. Adakah anda Liu yang sedang dicari oleh M. Nasir? Inilah masanya untuk membuktikan bakat anda di hadapan pasangan ikonik industri seni Malaysia dan menjadi sebahagian daripada sejarah pementasan Mansur & Liu. Jangan lepaskan peluang keemasan ini untuk melangkah ke pentas muzikal yang paling dinanti-nantikan tahun ini.