Malaysia Commercial Vehicle Expo (MCVE) kembali buat kali ketujuh dengan menampilkan pelbagai seminar, pembentangan dan ceramah industri yang memfokuskan kepada penyelesaian terkini dalam sektor pengangkutan jalan raya. Penganjuran tahun ini menyaksikan peningkatan ketara penyertaan pempamer antarabangsa sekali gus menjadikan MCVE 2026 sebagai edisi paling antarabangsa dalam sejarah penganjurannya. Beberapa jenama turut mengambil peluang menggunakan platform ini untuk melancarkan produk baharu, manakala sebahagian lagi menjadikannya sebagai medan perbincangan dan perkongsian mengenai perkembangan industri semasa.
MCVE merupakan siri ekspo kenderaan komersial pertama dan terbesar di Malaysia yang memberi tumpuan kepada penyelesaian pengangkutan masa depan dalam industri kenderaan komersial. Ia juga diiktiraf sebagai antara pameran kenderaan komersial terbesar di Asia Tenggara. Pameran yang berlangsung selama tiga hari itu telah dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan, YB Loke Siew Fook.

Antara pempamer utama yang diketengahkan ialah Angka-Tan Motor yang mengambil ruang pameran utama selain bertindak sebagai penganjur sidang media rasmi. Jenama lain seperti JAC Motors, Trucks Dotcom dan Handal BCM turut hadir sebagai peserta baharu dengan pengambilan ruang pameran berskala besar. Allegiance Malaysia pula kembali dengan ruang pameran terbesar dalam ekspo tahun ini. Secara keseluruhannya, pihak penganjur memaklumkan jumlah pempamer meningkat dengan ketara berbanding MCVE 2024.
MCVE 2026 turut mencipta beberapa pembaharuan apabila buat pertama kalinya pavilion negara atau Country Pavilion diwujudkan dalam ekspo tersebut. Selain itu, Persatuan Haulier Malaysia menggunakan platform MCVE untuk menganjurkan siri ceramah Coffee Talks, manakala syarikat LogiSYM dari Singapura memilih MCVE sebagai lokasi penganjuran persidangan perdana mereka, CargoNOW. Satu lagi tarikan baharu ialah Zon Pengalaman yang menampilkan jenama-jenama berkaitan trend perkhemahan dan karavan yang semakin berkembang di Malaysia.
Tahun ini juga menyaksikan penyertaan tujuh syarikat dari Taiwan menerusi pavilion negara buat pertama kali. Pempamer dari Taiwan menjadi kumpulan antarabangsa terbesar yang mengambil bahagian dalam ekspo tersebut dengan tujuan mendapatkan maklumat pasaran, menjalinkan hubungan perniagaan baharu serta mempromosikan jenama mereka kepada pemain industri tempatan dan serantau. Menurut penganjur MCVE 2026, Stefan Pertz, penyertaan tersebut mencerminkan pencapaian global dan persepsi positif terhadap Malaysia sebagai hab strategik untuk industri automotif dan pengangkutan.

Persatuan Haulier Malaysia pula menyampaikan pelbagai isu berkaitan industri menerusi siri Coffee Talks bertemakan “The State of the Haulage Industry @ MCVE 2026”. Lima sesi sepanjang tiga hari itu membincangkan pelbagai topik semasa termasuk persepsi industri, kesediaan teknologi kecerdasan buatan (AI), penggunaan trak bina semula serta keselamatan jalan raya. Pertz berkata, topik-topik tersebut sangat relevan dan penting selain menghargai usaha persatuan dalam memperkasakan industri pengangkutan negara.
Pada 15 Mei lalu, seminar sehari CargoNOW Malaysia turut dianjurkan bersama MCVE 2026 dengan memberi tumpuan kepada masa depan logistik, rantaian bekalan dan ekosistem pengangkutan. Seminar itu mengetengahkan beberapa sesi yang memberi fokus kepada impak operasi dunia sebenar, termasuk sesi khas untuk pengendali armada yang memperincikan isu ketidakcekapan sistem dan pengoptimuman silo dalam operasi logistik.
Menurut Pertz lagi, MCVE 2026 bukan sahaja menjadi platform perniagaan, malah turut mengetengahkan trend dan inovasi semasa termasuk perkembangan industri perkhemahan dan karavan di Malaysia. Zon Pengalaman yang diperkenalkan tahun ini menampilkan Mercedes Unimog “Moggy” yang dibawa khas dari Australia bagi mempamerkan konsep kehidupan dalam trak tentera yang diubah suai. Selain itu, beberapa kenderaan rekreasi yang dipasarkan oleh Asia RV turut ditawarkan dengan promosi istimewa sepanjang ekspo berlangsung.
Penganjuran MCVE 2026 turut mendapat sokongan pelbagai penaja industri seperti Hengst, Hap Seng Trucks Distribution, City Zone Express, Sidhu Brothers, Mr Coffee dan JMC yang masing-masing memainkan peranan dalam menjayakan acara tersebut di Mines International Exhibition & Convention Centre (MIECC).
Sebagai platform dinamik industri kenderaan komersial, MCVE 2026 terus memperkukuh peranannya dalam menghimpunkan pengeluar, penyedia teknologi dan pengendali industri di bawah satu bumbung. Pameran ini turut mengetengahkan pelbagai inovasi dalam bidang logistik, mobiliti, keselamatan dan sistem digital yang menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi serta pembangunan pengangkutan bandar dan serantau di Malaysia dan ASEAN.
MCVE 2026 berlangsung dari jam 10 pagi hingga 7 malam sepanjang tiga hari penganjuran dan dibuka secara percuma kepada pengunjung. Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi laman web rasmi www.mcve.com.my.












