Magika Studios Bakal Jadi Tarikan Eko-Pelancongan & Edutainment Terbaharu Selangor

Magika Studios diperkenalkan sebagai tarikan eko-pelancongan dan didik-hibur terbaharu di Mangrove Point, Pelabuhan Klang melalui kerjasama strategik antara Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), pemaju utama projek Selangor Maritime Gateway (SMG), dan KRU Entertainment Sdn Bhd (KRUESB). Dibangunkan di kawasan Hutan Simpan Raja Lumu seluas 70 ekar, destinasi ini menggabungkan keindahan semula jadi hutan bakau dengan teknologi moden serta penceritaan kreatif untuk meningkatkan kesedaran mengenai pemuliharaan Sungai Klang.

Magika Studios menjadi sebahagian daripada inisiatif pembangunan berasaskan ESG di bawah SMG, menampilkan pendekatan inovatif yang menggabungkan hiburan dan pendidikan alam sekitar. Melalui persembahan cahaya imersif, animatronics, watak dongeng tempatan dan elemen interaktif, tarikan ini bertujuan mengukuhkan penghayatan masyarakat terhadap kelestarian sungai dan ekosistem bakau.

Pengarah Urusan LLSB, Syaiful Azmen Nordin, menyatakan bahawa projek ini merupakan komponen penting dalam Fasa II Pelan Pembangunan SMG (2024–2030) yang memberi tumpuan kepada pembangunan berdaya impak. Beliau menegaskan bahawa Magika Studios akan merangsang ekonomi hijau, memajukan pelancongan Selangor dan menjadikan Sungai Klang simbol kebanggaan negeri melalui pendidikan kreatif dan pelancongan bertanggungjawab.

Antara tarikan utama yang ditawarkan kepada pengunjung termasuk persembahan animatronics dan audio visual, pencahayaan immersive di hutan paya bakau, pameran haiwan, lawatan berpandu sepanjang 1 kilometer boardwalk, serta aktiviti air dan sungai.

Presiden dan CEO KRU Entertainment, Dato’ Norman Abdul Halim, menyatakan komitmen mereka untuk menterjemah pengalaman sinematik filem Magika ke bentuk tarikan taman tema berunsur didik-hibur. Menurut beliau, projek ini menggabungkan teknologi digital, kreativiti dan mesej kelestarian untuk memberi impak positif kepada masyarakat, ekonomi dan alam sekitar.

Magika Studios dijangka dibuka pada pertengahan 2026 dan akan menjadi antara produk pelancongan utama negeri Selangor menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026. Inisiatif ini mengukuhkan peranan SMG dalam membangun destinasi berimpak tinggi yang menyeimbangkan kemajuan ekonomi dan pemuliharaan alam semula jadi.