Kebajikan Pekerja Jadi Kunci Gula Cakery Pantas Berkembang

Kejayaan Gula Cakery yang semakin berkembang pesat bukan sahaja disandarkan pada kek viral atau pembukaan cawangan baharu, tetapi juga kepada cara syarikat itu menjaga kebajikan pekerjanya. Pengasasnya, Nor Arieni Adriena Mohd Ritzal, menekankan bahawa fokus utama sejak hari pertama adalah memastikan setiap ahli pasukan rasa dihargai dan mempunyai ruang untuk berkembang. “Kalau mereka grow, bisnes akan grow. Apabila pekerja rasa dijaga, mereka akan menjaga pelanggan dengan hati yang gembira,” ujar beliau. Pendekatan ini menjadi salah satu faktor utama yang menjadikan Gula Cakery terus kukuh dalam industri makanan dan minuman (F&B).

Pendekatan tersebut jelas terlihat ketika majlis makan malam tahunan bertemakan hitam dan putih baru-baru ini, yang menyatukan ratusan staf dari pelbagai cawangan. Majlis itu bukan sekadar acara tahunan, tetapi pentas untuk menghargai segala usaha dan tenaga yang dicurahkan sepanjang tahun. Selain itu, mereka yang telah berkhidmat antara tiga hingga lapan tahun diraikan melalui Long Service Award, manakala hadiah cabutan bertuah seperti iPad, TV 65 inci dan pakej percutian menaikkan lagi semangat pasukan.

Perjalanan Gula Cakery bermula daripada dapur rumah dengan satu ketuhar dan resepi warisan nenek Arieni, dan kini berkembang menjadi jenama popular dengan menu seperti Tiramisu, yang menjadi viral dan mendapat permintaan tinggi. Arieni menekankan bahawa latihan bukan sekadar mengajar teknik atau SOP, tetapi juga menggilap bakat dan membantu staf membina keyakinan diri. Budaya kerja syarikat menekankan nilai hormat, tanggungjawab, layanan mesra dan semangat untuk belajar.

Kini, Gula Cakery memasuki fasa pertumbuhan lebih agresif dengan perancangan membuka cawangan baharu di Johor dan Bangi, serta berpindah ke central kitchen yang lebih besar dan efisien. Syarikat juga merancang membangunkan Training Academy Gula Cakery dan memperkenalkan program kesetiaan pelanggan bagi memperkukuh hubungan dengan komuniti. Menurut Arieni, momen paling mengharukan adalah melihat staf yang dahulu malu memegang tanggungjawab kini menjadi ketua, membuktikan bahawa perhatian terhadap kebajikan pekerja adalah “resipi” sebenar kejayaan Gula Cakery.

Dengan semangat pasukan yang kuat, budaya kerja positif dan perancangan masa depan yang jelas, Gula Cakery bukan sahaja berkembang sebagai jenama, tetapi juga sebagai keluarga profesional yang bergerak bersama, menunjukkan bahawa menjaga kebajikan pekerja adalah kunci kepada pertumbuhan bisnes yang berterusan.