Edisi Ke-2 Risalah Sabah Agro Tourism Dilancar, Durian Sabah Jadi Tumpuan

Dalam usaha memeriahkan serta mempromosikan musim durian di Sabah, Tourism Malaysia Sabah bersama rakan strategik, Persatuan Pengusaha Durian dan Buah-buahan Tropika Sabah telah melancarkan risalah Sabah Agro Tourism – A Unique Sabah’s Farmland Experience edisi kedua. Pelancaran yang berlangsung di Dking, Segama, Kota Kinabalu ini telah disempurnakan dengan kehadiran Menteri Pertanian, Perikanan dan Makanan Sabah, YB Datuk Jamawi Jaafar, sekali gus menandakan komitmen berterusan dalam memperkukuh sektor agropelancongan negeri.

Edisi terbaharu risalah ini meneruskan kejayaan edisi pertama yang diperkenalkan pada Ogos 2024 dengan mengetengahkan 24 pengusaha ladang buah-buahan tempatan. Ia memaparkan pelbagai pakej agropelancongan yang merangkumi kawasan seperti Tamparuli, Menggatal, Papar, Tenom, Tawau serta beberapa lokasi luar bandar lain yang terkenal dengan kepelbagaian durian dan buah-buahan tropika.

Pelawat ditawarkan pengalaman yang pelbagai, bermula daripada lawatan setengah hari ke kebun durian, pengalaman inap desa berasaskan ladang, sehinggalah pakej lawatan lengkap untuk menikmati durian unik Sabah seperti durian pulu, dalit dan sukang. Setiap pakej dibangunkan melalui kerjasama erat antara pengusaha ladang, komuniti setempat dan penggiat industri pelancongan, bertujuan menyokong aktiviti agropelancongan serta membantu meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar.

Menurut Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej Tourism Malaysia, Puan Zuraini Abd Ghani, pembangunan risalah Sabah Agro Tourism edisi kedua ini mencerminkan komitmen Sabah dalam menawarkan pengalaman pelancongan yang segar, autentik dan berteraskan komuniti. Beliau menjelaskan bahawa edisi ini memberi peluang kepada pelawat untuk merasai sendiri kekayaan warisan agro Sabah sambil menyokong pembangunan pelancongan luar bandar dan penjanaan ekonomi tempatan. Inisiatif ini juga dilihat sebagai salah satu persiapan awal bagi menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026.

Sebagai pelengkap kepada pelancaran risalah tersebut, Durian Tourism Bazaar 2025 turut diadakan di Segama Waterfront, Kota Kinabalu dari 12 hingga 14 Disember 2025. Karnival selama tiga hari anjuran Persatuan Pengusaha Durian dan Buah-buahan Tropika Sabah ini menghimpunkan lebih 20 pengusaha durian dan buah-buahan tempatan dari seluruh negeri. Pengunjung berpeluang mendapatkan pelbagai pilihan buah-buahan segar serta produk berasaskan buah-buahan pada harga yang menarik.

Penganjuran Durian Tourism Bazaar 2025 buat julung kalinya di Kota Kinabalu, dengan kerjasama Tourism Malaysia Sabah, Sabah Tourism Board, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan FAMA, diharapkan dapat mempromosikan Sabah sebagai antara destinasi agropelancongan unggul di Malaysia. Inisiatif ini juga membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan untuk memperluaskan pasaran serta memperkenalkan keunikan hasil pertanian Sabah kepada pelawat tempatan dan antarabangsa.