Yayasan MR D.I.Y. Perkukuh Pembelajaran Kreatif Menerusi Program CERIA@Muzium Negara
Yayasan MR D.I.Y., cabang tanggungjawab sosial Kumpulan MR D.I.Y. [M] Berhad, terus komited dalam menyemai minat terhadap pendidikan kreatif menerusi sokongan aktifnya terhadap program pendidikan CERIA@Muzium Negara. Inisiatif ini memberi ruang kepada kanak-kanak dan pelajar untuk meneroka ilmu dengan cara yang menyeronokkan dan interaktif.
Sebagai sebahagian daripada Kalender Program 2025 Muzium Negara, CERIA@Muzium Negara dilaksanakan dengan matlamat memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap perpaduan, budaya, warisan dan sejarah negara, sambil memperkenalkan pendekatan baharu dalam pembelajaran melalui aktiviti yang berfokus kepada kreativiti dan eksplorasi.
Yayasan MR D.I.Y., selaku penaja utama, telah menyumbangkan bahan aktiviti bertemakan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sebagai sebahagian daripada usaha memperkayakan kandungan program. Program ini berlangsung setiap hari Sabtu dari Mac hingga Disember 2025, dan sesi pembukaan bertemakan STEM telah menerima sambutan hangat dengan lebih 200 peserta termasuk kanak-kanak, ibu bapa, dan pelawat antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MR D.I.Y., Zaleha Mohd Mydin, menyatakan:
“Kami percaya pendidikan harus bersifat menyeronokkan, praktikal dan memberi inspirasi. Melalui program CERIA@Muzium Negara, kami mahu mewujudkan ruang pembelajaran yang bukan sahaja interaktif tetapi juga memberi peluang kepada pelajar untuk mengembangkan daya cipta dan minat terhadap sejarah serta budaya Malaysia. Ini sejajar dengan aspirasi Yayasan MR D.I.Y. untuk menjadikan pendidikan sebagai alat memperkasa generasi akan datang.”
CERIA@Muzium Negara terbuka kepada pelajar prasekolah, sekolah rendah dan menengah, dan menampilkan pelbagai aktiviti berkonsepkan DIY serta STEM. Ia juga membuka peluang kepada penglibatan ibu bapa secara aktif dalam aktiviti yang dijalankan, sekali gus mengeratkan hubungan kekeluargaan sambil mendalami warisan tempatan.
Melalui inisiatif ini, Yayasan MR D.I.Y. terus menegaskan peranannya dalam memacu perubahan positif dalam pendidikan, selaras dengan misinya untuk memperkasa komuniti melalui pembelajaran yang menyeronokkan dan berimpak tinggi.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai inisiatif terkini Yayasan MR D.I.Y., layari www.mrdiy.com atau ikuti laman sosial rasmi di Facebook, Instagram dan TikTok.