Festival Seni Insan Istimewa, kini dikenali sebagai “OKU FEST 2.0”, akan berlangsung pada 30 November hingga 1 Disember 2024, bertempat di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur, Dataran Merdeka. Festival ini dibuka dari jam 10 pagi hingga 8 malam dan dijangka menjadi acara besar yang mempamerkan bakat serta keunikan komuniti Orang Kelainan Upaya (OKU) di Malaysia. Selepas kejayaan penganjuran pertamanya pada Oktober 2022, OKU FEST 2.0 kembali dengan lebih banyak aktiviti menarik yang bertujuan untuk meraikan potensi luar biasa yang ada dalam kalangan golongan istimewa ini.
Majlis perasmian festival ini akan disempurnakan oleh YB Senator Tuan Isaiah D. Jacob, Ahli Dewan Negara yang juga mewakili komuniti OKU. Dengan tema “My Ability is Stronger Than My Disability”, festival ini bertujuan untuk menunjukkan bahawa kekurangan bukanlah penghalang, tetapi sebaliknya, ia menjadi sumber kekuatan yang perlu diterokai dan dihargai.
Sepanjang dua hari penganjuran, festival ini bakal menawarkan pelbagai aktiviti yang menarik, termasuk:
- Pertandingan Akhir Bakat Seni Suara SBM – Menampilkan suara emas daripada peserta OKU yang berbakat.
- Pertandingan Canting Batik – Khas untuk kanak-kanak autisme, dengan hadiah wang tunai menarik.
- Persembahan OKU Jam – Mempersembahkan bakat luar biasa seperti Rizwan dan Lan Taroo, dengan penampilan istimewa daripada Amal AF/Ex-OAG dan kumpulan muzik ska, Reloveution.
Selain itu, festival ini juga menyediakan sesi forum bertajuk “Autism Adalah Superpower!”, yang menampilkan YB Altimet, ADUN Lembah Jaya, yang turut berkongsi pengalaman sebagai individu dyslexia, sebagai salah seorang panelis.
Pada hari kedua, acara kemuncak termasuklah OKU Fest Idol dan Bengkel KL Street Artist, satu program khas untuk pengambilan permit seniman jalanan yang memberi peluang eksklusif kepada warga OKU untuk tampil di jalanan Kuala Lumpur sebagai seniman sah.
Festival ini adalah anjuran Persatuan Karyawan Malaysia, dengan sokongan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), serta rakan strategik seperti Malaysian Association for the Blind (MAB), Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM), dan Dyslexia Genius. Selebriti-selebriti terkenal seperti Radhi Kahlid, Rozita Rohaizad, dan Mel turut akan menyertai acara ini, memberikan sokongan kepada komuniti OKU.
Selain daripada pertandingan dan persembahan, festival ini juga turut menampilkan pameran dan jualan seni, yang mempamerkan pelbagai bidang seni seperti muzik, seni kraf, seni catan, dan banyak lagi, dengan melibatkan golongan OKU dalam pelbagai bentuk kelainan upaya, termasuk penglihatan, pendengaran, pertuturan, anggota badan, dan autisme.
Lebih menarik lagi, semua program ini adalah percuma dan terbuka kepada orang ramai tanpa mengira latar belakang. Penganjur menggalakkan orang ramai untuk hadir dan memberi sokongan kepada komuniti OKU, serta menyaksikan sendiri bakat luar biasa dan keindahan seni yang dipersembahkan oleh golongan istimewa ini.
Bagi individu OKU yang berminat untuk menyertai program-program yang disediakan, sila hubungi urusetia di 014-7176276 (Amad) untuk maklumat lanjut.
Marilah kita bersama-sama meraikan bakat, kekuatan, dan keunikan komuniti OKU. OKU FEST 2.0 adalah bukti bahawa kekurangan bukanlah penghalang, tetapi ia adalah pemangkin kepada kejayaan yang lebih besar!