Revolusi Servis Motosikal: SPANA Gabungkan Fasiliti Premium dan Sokongan Komuniti

SPANA hari ini melancarkan secara rasmi pusat servis motosikal berteraskan komuniti, memperkenalkan pendekatan baharu dalam industri penyelenggaraan motosikal tempatan. Dengan lebih 16 juta motosikal berdaftar di Malaysia, kenderaan dua roda menjadi pengangkutan utama rakyat, terutamanya golongan B40 dan pekerja ekonomi gig. Keperluan terhadap servis yang telus, berkualiti, dan mampu milik kini semakin mendesak.

Menjawab keperluan tersebut, SPANA memperkenalkan konsep “Rider Jaga Rider”, sebuah model perniagaan yang menggabungkan fasiliti premium, mekanik berpengalaman, dan harga kompetitif. Pengerusi SPANA, Datuk Rosyam Nor, menekankan bahawa SPANA bukan sekadar bengkel, tetapi sebuah gerakan komuniti. “Apabila seorang rider tersadai di tepi jalan pada jam 3 pagi, ketika itulah kita faham nilai sokongan sebenar. Kami mahu setiap rider tahu mereka tidak bersendirian,” kata beliau. Beliau turut menambah, “Kami membawa standard servis bertaraf premium, tetapi dengan harga yang tidak membebankan. Prinsip kami jelas – Servis Gaya T20, Harga B40. Setiap pelanggan berhak mendapat layanan kelas pertama tanpa kos tersembunyi.”

Selain itu, SPANA memperkenalkan pakej keahlian tahunan pada kadar RM100 setahun, menawarkan pelbagai manfaat termasuk bantuan kecemasan dan keistimewaan eksklusif untuk ahli. Sasaran jangka panjang SPANA adalah membina ekosistem sokongan menyeluruh untuk komuniti penunggang motosikal di seluruh Selangor dan Lembah Klang menjelang 2027.

Sempena pelancaran, SPANA turut memperkenalkan Contest Video Terpaling Viral dengan peluang memenangi Yamaha Y16 pada harga RM88.88, serta Contest Pocket Bike RM8.88 melibatkan 10 unit untuk dimenangi. Cabutan bertuah Grand Opening juga diadakan dan disiarkan secara langsung melalui TikTok rasmi SPANA, memperkukuh strategi pemasaran digital dan interaksi dua hala dengan komuniti.

Pelancaran ini menandakan permulaan aspirasi besar SPANA untuk menjadi peneraju model servis motosikal berteraskan komuniti di Malaysia.