PruBSN Lancar Pelan Takaful AnugerahMax Serendah RM50 Sebulan

prubsn

Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN) memperkenalkan produk terbaharu mereka, PruBSN AnugerahMax, sebuah pelan takaful komprehensif dengan perlindungan menyeluruh serendah RM50 sebulan.

Pelan ini dilancarkan bagi memenuhi keperluan masyarakat yang semakin sedar akan kepentingan perlindungan kesihatan dan kewangan.

Dengan sejarah kejayaan produk seperti PruBSN Anugerah dan PruBSN AnugerahPlus, PruBSN AnugerahMax dijangka akan menarik lebih ramai pelanggan yang ingin mendapatkan perlindungan lebih baik pada harga mampu milik.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN, Wan Saifulrizal Wan Ismail, pelan ini disertakan dengan 18 jenis rider tambahan yang memberikan pilihan perlindungan yang lebih fleksibel dan menyeluruh.

Ini termasuk perlindungan penyakit kritikal, perlindungan kemalangan, peluang pelaburan, serta manfaat kebajikan. “Kami memahami bahawa situasi kesihatan kini semakin mencabar, khususnya di kalangan generasi muda.

Statistik menunjukkan bahawa 70% golongan muda berumur antara 15 hingga 24 tahun di Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya satu risiko penyakit kardiovaskular. Justeru, program ini direka bagi memberikan ketenangan fikiran dan perlindungan optimum,” katanya.

Pelan takaful ini menjadi amat relevan dalam keadaan semasa di mana semakin ramai golongan muda dan kanak-kanak di Malaysia menghadapi pelbagai risiko kesihatan yang serius. Setiap tahun, lebih 700 kanak-kanak di bawah umur 15 tahun dikenal pasti menghidap kanser.

Dalam pada itu, kos perubatan dijangka meningkat dua kali ganda menjelang 2028. Wan Saifulrizal turut menekankan kepentingan memiliki pelan takaful yang lengkap bagi menghadapi peningkatan kos rawatan perubatan yang membebankan.

“Pelan perlindungan seperti PruBSN AnugerahMax bukan sahaja memberi jaminan dari segi kewangan tetapi juga memastikan akses kepada rawatan kesihatan yang berkualiti,” tambahnya.

Antara ciri menarik program ini  ialah rider tambahan seperti Medic TotalCare yang menyediakan perlindungan menyeluruh bagi kemasukan hospital, rawatan kanser moden, dan penjagaan kesihatan mental.

Rider Crisis TotalCare pula meliputi perlindungan 166 jenis penyakit kritikal dari peringkat awal hingga akhir, termasuk kondisi kesihatan mental yang semakin mendapat perhatian dalam masyarakat.

Pelan ini turut dilengkapi dengan ciri pelanjutan automatik yang memastikan perlindungan berterusan sehingga umur 100 tahun tanpa perlu menjalani proses pengunderaitan semula, menjadikan ia pilihan ideal untuk mereka yang inginkan ketenangan minda untuk jangka panjang.

PruBSN AnugerahMax juga menawarkan ciri unik EduAchieve Bonus, yang memberikan ganjaran tunai kepada kanak-kanak berusia antara satu hingga 18 tahun yang mencapai kecemerlangan akademik.

Dari peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hingga ke peringkat Sarjana dan PhD, ganjaran tunai ini boleh digunakan untuk melabur semula dalam pendidikan anak-anak.

Melalui ciri ini, PruBSN bukan sahaja mempromosikan kecemerlangan akademik, malah membantu menyediakan dana bagi keperluan pendidikan masa depan.

Sehingga kini, lebih 400 individu telah mendapat perlindungan di bawah siri produk PruBSN, dengan jumlah tuntutan hampir mencecah RM1 bilion.

Dengan pelbagai manfaat dan perlindungan menyeluruh, PruBSN AnugerahMax menjadi pilihan terbaik untuk mereka yang ingin melindungi diri dan keluarga daripada kos rawatan perubatan yang semakin tinggi.

Pelan ini juga menepati prinsip Syariah, menjadikannya pilihan sesuai untuk masyarakat yang ingin mendapatkan perlindungan takaful yang patuh syariah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *