TehTarikTimes

News, Entertainment and Lifestyles

Angela Mak lakar kejayaan buat YES Group, bawa pulang trofi Anugerah Usahawan SEBA

Pengarah Eksekutif Yes Group, Allan Too Wai Loon memegang trofi dan sijil Anugerah Usahawan SEBA di pentas Pusat Konvensyen KLGCC

Pengarah Urusan Yes Group Dinobat Usahawan Terkemuka Anugerah SEBA

Pengarah Urusan Yes Group Management Berhad (Yes Group), Angela Mak Shau Kwan, telah dinobatkan sebagai penerima anugerah Usahawan Terkemuka dalam Perjalanan Korporat & MICE pada majlis Anugerah SEBA ASEAN 2025/2026 (Edisi Elites Asia). Kemenangan ini mengiktiraf kepimpinan keusahawanan cemerlang beliau selama 18 tahun dalam membangunkan Yes Travel & Holidays Sdn Bhd (Yes Travel) daripada sebuah perniagaan perancangan acara korporat berskala kecil kepada penyedia penyelesaian Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE) hujung ke hujung yang disegani.

Majlis makan malam gala berprestij anjuran Yayasan Usahawan Malaysia itu berlangsung di Pusat Konvensyen KLGCC, Kuala Lumpur pada 17 November lalu, di mana trofi anugerah tersebut telah diterima oleh Pengarah Eksekutif Yes Group, Allan Too Wai Loon bagi pihak Angela. Memasuki edisi ke-12 di bawah tema “Melangkaui Sempadan. Mengiktiraf Kecemerlangan Merentasi ASEAN”, pengiktirafan ini dinilai menerusi proses saringan ketat lapan fasa yang merangkumi aspek tadbir urus perniagaan, penilaian kewangan serta pertimbangan panel juri.

Lebih manis lagi, kejayaan ini hadir hanya lapan hari menjelang penyenaraian rasmi Yes Group di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad yang dijadualkan pada 26 November 2026. Mengimbas kembali perjalanan perniagaannya sejak mengasaskan Yes Travel pada tahun 2008, Angela menyifatkan anugerah tersebut sebagai pencapaian yang amat bermakna dan menjadi pemangkin semangat buat seluruh pasukan ketika Kumpulan bersedia melangkah ke pasaran modal tempatan.

Peluasan Segmen MICE dan Hala Tuju Mampan Yes Group

Di bawah teraju kepimpinan beliau, syarikat berjaya meluaskan sayap ke segmen pelancongan insentif domestik pada tahun 2010 sebelum meneroka pasaran pelancongan insentif antarabangsa pada tahun 2014. Menurut Angela, penyenaraian yang bakal berlangsung lewat bulan ini menandakan lembaran baharu yang penting buat Kumpulan, dengan tumpuan utama kini terarah kepada usaha membina perniagaan yang lebih mampan, memperkasa bakat tenaga kerja serta mencipta nilai jangka panjang buat pelanggan dan pihak berkepentingan.