Amira Othman Jadi Wajah Utama Pelancaran Eksklusif Rissa Night Silk Cream

Jenama kecantikan tempatan yang semakin mendapat perhatian, Rissa Skin, telah menganjurkan sebuah majlis rumah terbuka eksklusif sempena pelancaran produk terbaharunya, Rissa Night Silk Cream, bersama duta jenama, Amira Othman. Majlis yang berlangsung di Concorde Hotel Shah Alam itu menghimpunkan wakil media, pempengaruh digital, rakan strategik serta pelanggan setia dalam suasana yang elegan dan harmoni, selari dengan aspirasi jenama dalam mempromosikan penjagaan diri secara menyeluruh.

Kemuncak acara menyaksikan pelancaran Rissa Night Silk Cream, iaitu produk penjagaan kulit pelbagai fungsi yang dirumus khas untuk membantu mencerahkan kulit, memberikan kelembapan mendalam, memperbaiki tekstur serta meningkatkan keanjalan kulit. Produk ini turut membantu mengurangkan kesan regangan dan sesuai digunakan pada seluruh badan, menjadikannya pilihan praktikal untuk keperluan penjagaan kulit moden. Ia juga sesuai untuk lelaki dan wanita serta selamat digunakan sebagai rutin harian.

Kerjasama antara Rissa Skin dan Amira Othman yang bermula sejak awal tahun 2025 terus diperkukuhkan melalui pelancaran ini. Sepanjang tempoh tersebut, kolaborasi ini telah mencatatkan pencapaian positif menerusi pelbagai kempen digital serta inisiatif komuniti yang mendapat sambutan menggalakkan. Menurut Amira, penjagaan kulit bukan sekadar aspek luaran, tetapi turut memainkan peranan penting dalam membina keyakinan diri. Beliau turut menyatakan penghargaan kerana dapat bersama jenama yang berkongsi nilai yang seiring dengan prinsip dirinya. Majlis ini turut diserikan dengan pelbagai pengisian menarik termasuk perkongsian perjalanan jenama serta persembahan khas daripada Ameng Spring dan Bella Astillah.

Pengasas Rissa Skin, Maam Nurul, menegaskan bahawa kepercayaan pelanggan merupakan asas utama dalam membina jenama yang mampan. Menurut beliau, Rissa Skin bukan sekadar menawarkan produk, malah membawa nilai hubungan jangka panjang bersama pelanggan dan komuniti. Dengan prestasi jualan yang memberangsangkan serta sokongan berterusan daripada pengguna, Rissa Skin dilihat semakin kukuh sebagai jenama kecantikan tempatan yang berpotensi untuk berkembang ke peringkat serantau.