Night Of Love & Compassion Program ‘Sponsor A Student’ Bantu Lebih 1000 Pelajar

Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tengku Mahmud, Besut Terengganu (TMESA) berbesar hati untuk mengumumkan acara amal bertajuk ‘Night Of Love & Compassion’ sebagai usaha untuk mengumpul dana bagi membantu pelajar-pelajar yang kurang bernasib baik. Acara istimewa ini akan mempersembahkan dua bintang seni tanah air, Datuk Hattan dan Datuk Jamal Abdillah, yang dijangka memberikan persembahan memukau dengan lagu-lagu ikonik mereka yang sentiasa menyentuh hati.

‘Night Of Love & Compassion’ dijadualkan berlangsung pada 14 Disember 2024 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Menurut Presiden TMESA, Dato’ Muhammad Nasir Hamzah, persatuan ini sangat komited dalam menjaga kebajikan pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan, khususnya di sekitar kawasan Besut.

“Setiap tahun, kami melaksanakan pelbagai aktiviti demi kesinambungan persatuan, dengan matlamat utama untuk membantu anak-anak di sekolah-sekolah sekitar Besut, khususnya di Sekolah Tengku Mahmud. Dalam dua dekad ini, kami bergantung kepada usaha ahli-ahli persatuan yang telah bersara, dan hasil perbincangan kami, lahirlah idea untuk mengadakan acara ini,” jelasnya.

Dato’ Muhammad Nasir juga menekankan kepentingan program ‘Sponsor A Student’ (SAS), yang telah memberi manfaat kepada lebih 1000 pelajar dari keluarga yang kurang bernasib baik.

“Program ini telah berjalan selama 16 tahun dan kami telah menemubual sendiri pelajar-pelajar yang memerlukan. Ada yang hanya mampu menikmati nasi tiga kali seminggu, namun mereka memiliki semangat yang tinggi untuk belajar. Ada yang bercita-cita untuk menjadi doktor, peguam, guru, dan ustaz,” tambah beliau.

“Jika acara malam ini berjaya, kami berharap dapat mengumpul sebanyak RM1 juta, yang akan digunakan untuk meningkatkan kemudahan di sekolah-sekolah yang memerlukan,” katanya lagi.

Sementara itu, Datuk Jamal Abdillah, raja pop negara, menyatakan rasa teruja untuk terlibat dalam acara amal ini. “Saya bersyukur kerana dapat menggunakan bakat yang Tuhan kurniakan untuk mengumpul dana dan membantu pelajar-pelajar yang memerlukan. Saya berharap suara saya dapat menarik minat orang ramai untuk menyokong usaha ini,” katanya dengan penuh harapan.

Penyanyi terkenal Datuk Hattan juga menyatakan sokongan penuhnya terhadap inisiatif amal seperti ini. “Saya berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada program ini. Ini bukan kali pertama saya terlibat dalam acara amal untuk membantu pelajar sekolah. Saya telah berjanji untuk tidak menolak undangan yang berkaitan dengan pendidikan, kerana saya memahami situasi pelajar yang memerlukan,” ujarnya.

Dalam acara ‘Night Of Love & Compassion’ ini, sebanyak 98 meja akan dijual dengan harga berikut:

  • Bronze: RM4,000 (20 meja)
  • Silver: RM6,000 (20 meja)
  • Gold: RM8,000 (16 meja)
  • Diamond: RM10,000 (16 meja)
  • Platinum: RM15,000 (16 meja)

Peluang ini adalah untuk menyokong pendidikan dan masa depan pelajar-pelajar kita. Untuk tempahan meja dan pertanyaan lanjut, sila hubungi:

  • En. Hatta: 018 223 9934
  • En. Nik Ahmad: 019 452 4567

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *