“Salju & 7 Buaya”: Ariana Yusof Terperangkap Dalam Jerat Cinta dan Pengkhianatan

Bagaimana nasib seorang wanita apabila cinta yang diimpikan terpaksa dikorbankan demi harta pusaka bernilai jutaan ringgit? Persoalan itu menjadi tunjang kepada drama mikro terbaharu, Salju & 7 Buaya, yang bakal menemui penonton mulai 24 Jun 2026, setiap hari jam 8.00 malam secara eksklusif di TikTok Drama Sangat dan Tonton. Diinspirasikan daripada kisah dongeng klasik Snow White, drama ini tampil dengan pendekatan moden yang sarat dengan konflik keluarga, percintaan dan muslihat demi merebut kekayaan.

Menampilkan barisan pelakon seperti Ariana Yusof, Imranul Effendy, Syafi Tee, Syuhaida Abraz dan Watie Sadali, Salju & 7 Buaya mengisahkan perjalanan hidup Salju, seorang gadis yatim piatu yang dibesarkan oleh ibu angkatnya, Mak Sherry. Dikenali sebagai seorang yang baik hati dan sentiasa mengutamakan orang lain, kehidupan Salju berubah sepenuhnya apabila pada hari perkahwinannya, dia menerima berita mengejutkan bahawa dirinya merupakan pewaris sah kepada harta peninggalan arwah bapa kandungnya.

Namun, pewarisan tersebut hadir bersama syarat yang sukar diterima apabila Salju tidak dibenarkan berkahwin selama tiga tahun jika mahu mengekalkan haknya sebagai pewaris. Demi masa depan dan atas nasihat ibu angkatnya, Salju membuat keputusan berat untuk membatalkan perkahwinannya dengan Haikal, lelaki yang dicintainya. Keputusan itu bukan sahaja menghancurkan hati Haikal, malah menyebabkan hubungan mereka musnah dan membuka ruang kepada pelbagai konflik yang tidak pernah dijangkakan.

Keadaan menjadi lebih rumit apabila Salju mula bekerja di syarikat milik keluarga kandungnya dan bertemu dengan ibu tiri serta kakak tirinya yang ternyata menyimpan agenda tersendiri. Che Puan Sarima, wanita yang sepatutnya menerima kehadiran Salju sebagai ahli keluarga, sebenarnya merancang pelbagai helah untuk memastikan Salju kehilangan hak terhadap harta pusaka tersebut. Lebih mengejutkan, dia turut bekerjasama dengan Haikal dan enam lelaki lain dalam satu konspirasi yang bertujuan menghancurkan kehidupan Salju.

Dengan gabungan elemen cinta, komedi, konflik keluarga dan pengajaran tentang ketamakan serta pengorbanan, Salju & 7 Buaya menjanjikan sebuah kisah yang penuh emosi dan sarat dengan kejutan. Persoalannya, mampukah Salju mempertahankan haknya sebagai pewaris dan menewaskan muslihat pihak yang mahu melihatnya gagal? Dan adakah cinta yang pernah musnah masih mempunyai peluang untuk disatukan semula? Jawapannya hanya boleh disaksikan menerusi Salju & 7 Buaya, sebuah drama yang mengangkat perjuangan seorang wanita dalam mempertahankan maruah, hak dan kebahagiaannya.

Untuk mendapatkan info terkini tentang drama dan rancangan kegemaran anda, layari Facebook, X, YouTube dan Instagram TV3 di @TV3Malaysia, ikuti juga Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat serta platform rasmi tonton di Facebook, X, TikTok dan Instagram di @tontonmy.