‘Malaysia Kita Roadshow’ Raikan Kemajmukan Sempena Hari Malaysia

Hari Malaysia merupakan detik yang amat bermakna dan bersejarah bagi seluruh rakyat Malaysia. Tarikh 16 September akan sentiasa diingati sebagai hari untuk merayakan kemajmukan dan perpaduan yang kita nikmati.

Dalam meraikan Hari Malaysia, Universal Music Malaysia (UMM) bersama Sunway Putra Mall, HotFM, FlyFM, serta Pop Meals, akan menganjurkan Malaysia Kita Roadshow yang dijadualkan berlangsung selama dua hari, iaitu 14 dan 15 September, dari jam 10 pagi hingga 10 malam di Main Concourse, GF, Sunway Putra Mall. Acara ini bakal menampilkan pelbagai aktiviti menarik, termasuk showcase lebih 30 artis tempatan terkenal dari label rakaman terkemuka seperti UMM, Def Jam Malaysia, Faithful Music, RUSA Music, dan Alternate Records.

Kim Lim, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, menyifatkan Malaysia Kita Roadshow sebagai usaha unik dalam menggabungkan artis dari pelbagai latar belakang. “Acara ini adalah cerminan keindahan Malaysia yang kaya dengan kemajmukan. Malaysia Kita Roadshow adalah platform yang mempamerkan kepelbagaian artistik kita, dan muzik adalah medium yang menyatukan kita semua. Sunway Putra Mall, sebagai rakan kerjasama kami, adalah lokasi ideal untuk meraikan Hari Malaysia dengan cara yang memeriahkan hujung minggu panjang ini,” ujar Kim Lim.

Hermond Cheng, Pengarah Kanan, A&R dan Pengurusan Artis Universal Music Malaysia, menambah, “Malaysia Kita Showcase membawa makna mendalam kepada industri hiburan tempatan, kerana ia menunjukkan betapa muzik mampu menyatukan rakyat kita.”

Pada hari pertama, 14 September, pengunjung akan disajikan dengan persembahan oleh Anna & Hanna dari Universal Playground, Hariz Fayahet dan Puteri Khareeza dari Alternate Records, serta Zel dan Keka Nizam dari RUSA Music. Juga tidak ketinggalan, A-Jin dan Madykit dari Faithful Music, Ismail Izzani, Sophia Liana, KillaDriz, Asyraf Nasir, Yonnyboii, Lil J dari Def Jam Malaysia, dan DJ Ziqq.

Hari kedua, 15 September, akan menampilkan persembahan dari Anna & Hanna, Julia Duclos, Kat Roshan, Shi En, Elva, Nicole Lai, The Gadys, Nadia Rosli, dan ALVN dari Universal Music Malaysia. Turut serta adalah Nabila Razali, HarsonBee, dan Ara Johari yang bergabung dengan UMM, serta NAKI dan Mal Hamka dari Faithful Music, Aqmal Ramdan dan Ika Mustafa dari Alternate Records, dan HarsonBee dari LY Music.

Pengunjung bukan sahaja dapat menyaksikan persembahan hebat, tetapi juga berpeluang bertemu secara langsung dengan artis kesayangan mereka melalui sesi ramah mesra yang diadakan dari 6.30 petang hingga 7.30 malam sebelum showcase bermula. Ini adalah peluang terbaik untuk berinteraksi dengan artis, bergambar, dan bersalaman dengan mereka.

Selain itu, pertandingan mewarna Anna & Hanna untuk kanak-kanak yang berumur 4 hingga 8 tahun pada 14 September, jam 3.30 petang, merupakan salah satu tarikan utama. Pelbagai hadiah menarik tajaan Anna & Hanna bakal dimenangi, dan semua peralatan mewarna akan disediakan. Pendaftaran untuk pertandingan ini boleh dibuat melalui pautan yang disediakan oleh Sunway Putra Mall di media sosial mereka.

Jangan ketinggalan juga segmen podcast yang akan membincangkan topik-topik menarik berkaitan Hari Malaysia, memberikan pengunjung peluang untuk mendalami lagi keindahan negara kita. Malaysia Kita Roadshow adalah acara yang tidak boleh dilepaskan, menyatukan rakyat melalui muzik dan perayaan budaya yang berwarna-warni.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *