Noraniza Idris, figura tersohor yang sinonim dengan muzik etnik kreatif dan Irama Malaysia, bakal menghiburkan rakyat Malaysia menerusi konsert istimewa sempena Hari Raya Aidilfitri yang akan diadakan secara percuma di Summit USJ pada 26 April 2025. KONSERT EH RAYA 2025, yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 9 malam, merupakan inisiatif kebudayaan yang menggabungkan elemen seni persembahan, warisan tradisional dan interaksi masyarakat dalam satu platform.
Sebagai teraju utama persembahan, Noraniza turut memainkan watak “Che Ani” dalam persembahan utama bersama barisan artis jemputan iaitu Azmir Arif, Helmi Gimmick dan Siti Sarah. Persembahan akan diserikan dengan iringan lebih 60 penari daripada Noraniza Idris Dance Academy (NIDA TARI), menyampaikan lagu-lagu raya tradisional dalam bentuk nyanyian, tarian dan sketsa pentas yang bertemakan rumah terbuka.
Konsert ini juga menyediakan pelbagai pengisian seperti Bengkel Zapin & Ronggeng Selangor, pertandingan tarian kreatif, Rewang Raya, Malam 7 Likur, Pagi 1 Syawal serta perarakan makanan warisan Bugis. Ia bukan sahaja menonjolkan keunikan budaya tempatan, malah memupuk rasa cintakan seni tradisional dalam kalangan masyarakat pelbagai peringkat.
Pengunjung juga berpeluang menyaksikan pratonton eksklusif persembahan warisan tarian Negeri Selangor, sebagai sebahagian daripada kempen Tahun Melawat Selangor 2025. Modul pembelajaran budaya ini dibangunkan oleh Noraniza sendiri melalui akademinya yang berpangkalan di Shah Alam.
Menurut Noraniza, konsert ini adalah peluang untuk memperkenalkan semula keindahan muzik etnik kepada khalayak, dengan pendekatan yang inklusif dan moden. Acara ini dianjurkan oleh Persatuan Tatihseni Malaysia dengan kerjasama NIPV Management dan Summit USJ, serta disokong oleh Tourism Selangor, Dewan Bahasa dan Pustaka, NAJAH, NIDA dan CHE ANI PREMIUM. Majlis pelancaran rasmi akan dirasmikan oleh Penaung NIDA, Yang Mulia Tengku Dato’ Dr. Hishammuddin Zaizi bin YAM Tengku Bendahara Azman AlHaj.