Konsert Pertama di Malaysia oleh TBA November Ini

Trio popular Indonesia, TBA, yang terdiri daripada Teuku Ryzki, Bastian Steel, dan Alvaro Maldini, bakal membuat penampilan pertama mereka di Malaysia menerusi konsert sulung pada 29 November 2024 di Zepp Kuala Lumpur.

Konsert yang dinanti-nantikan ini dibawakan oleh penganjur Ikarl Project dari Malaysia dengan kerjasama Evb Group dari Singapura, dan mendapat sokongan Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (Irama) serta tajaan dari Emina Cosmetic Malaysia.

TBA, yang dahulunya dikenali sebagai Coboy Junior dan CJR, telah menempah nama di pentas muzik Indonesia dan rantau Asia Tenggara dengan lagu-lagu pop mereka. Trio ini mencapai populariti ketika masih dikenali sebagai Coboy Junior, dengan anggotanya Ryzki, Iqbaal, Bastian, dan Aldi. Mereka mencuri perhatian menerusi lagu-lagu hit seperti Kamu (2011), Eeaaa (2012), dan Kenapa Mengapa (2012), yang menjadikan mereka idola remaja dalam dunia muzik pop.

Kini dikenali sebagai TBA, kumpulan ini terus menarik minat peminat dengan lagu terbaru mereka, U-Uh. Konsert di Kuala Lumpur nanti dijangka akan menampilkan koleksi lagu-lagu hit mereka, bersama beberapa lagu baru yang belum pernah dipersembahkan sebelum ini. Penganjur yakin peminat akan terhibur dengan persembahan bertenaga dan dinamik yang sinonim dengan TBA.

“Pemilihan TBA untuk dibawa ke Malaysia adalah keputusan tepat. Mereka mempunyai kualiti persembahan yang sangat mantap, dan kami yakin peminat di Malaysia akan menikmati konsert ini sepenuhnya,” kata penganjur. Tambahan pula, TBA telah mengharungi perjalanan muzik yang panjang dan masih mengekalkan daya tarikan mereka, menjadikan konsert ini satu acara yang tidak boleh dilepaskan.

Bagi mempromosikan konsert ini, penganjur turut menerbangkan khas Teuku Ryzki ke Kuala Lumpur untuk menghadiri sesi ramah mesra dan temubual bersama media tempatan. Ini memberikan peluang kepada peminat dan wartawan untuk mendekati anggota kumpulan TBA sebelum acara besar tersebut.

Selain TBA, konsert ini juga akan dimeriahkan dengan persembahan dari kumpulan UN1TY dan artis tempatan Syaffiq Sahli, yang telah menggantikan Amir Hariz. Pada awalnya, Amir Hariz telah dipilih untuk tampil dalam konsert ini, tetapi tindakan kontroversinya di media sosial, yang melibatkan video membuang kucing, mencetuskan kecaman hebat dari peminat dan Persatuan Pencinta Kucing. Akibat daripada kejadian itu, penganjur mengambil keputusan untuk menggugurkan Amir Hariz dan menampilkan Syaffiq Sahli sebagai pengganti.

live in malaysia

Penganjur menegaskan bahawa keputusan tersebut adalah langkah terbaik untuk memastikan konsert berjalan lancar tanpa sebarang kontroversi. “Kami ingin memberikan pengalaman terbaik kepada peminat yang hadir, dan persembahan Syaffiq Sahli dijangka mampu menggantikan slot Amir dengan baik,” kata penganjur.

Dengan barisan artis yang hebat dan populariti TBA yang tidak pernah pudar, konsert ini dijangka menjadi malam yang penuh dengan tenaga dan kenangan manis bagi peminat. Lagu-lagu hit serta persembahan menarik yang akan dibawakan oleh TBA pastinya akan meninggalkan impak yang besar kepada penonton.

Konsert sulung TBA di Malaysia bukan sahaja menjadi peluang bagi peminat tempatan untuk melihat trio ini secara langsung, tetapi juga mengukuhkan kedudukan mereka sebagai salah satu kumpulan pop yang disayangi di rantau ini. Maklumat mengenai pembelian tiket untuk menonton Konsert TBa didapati di http://evb.ubertickets.asia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *