
Citrawarna Speed Festival 2026 secara rasminya bermula dengan menampilkan konsep unik yang menggabungkan kekayaan seni dan budaya Malaysia bersama kemeriahan sukan permotoran.
Berlangsung selama 12 hari dari 23 September hingga 4 Oktober 2026, festival ini diadakan di tiga lokasi utama iaitu IOI City Mall Putrajaya, Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Hotel Sama-Sama KLIA.
Menyusuli kejayaan Citrawarna 2026 di Dataran Merdeka pada Julai lalu, edisi kali ini membawa pendekatan yang lebih dinamik dan interaktif menerusi pelbagai aktiviti yang menggabungkan elemen budaya, seni, pelancongan dan automotif.
Di IOI City Mall Putrajaya, festival dibahagikan kepada empat zon utama iaitu Colours of Speed, Reruai Info, Colours of Art & Culture dan Colours of Parade.
Colours of Speed menawarkan aktiviti interaktif termasuk pertandingan simulator, manakala Reruai Info menyediakan maklumat berkaitan pelancongan dan budaya menerusi penyertaan Tourism Malaysia, Tourism Selangor dan Majlis Perbandaran Sepang.

Sementara itu, Colours of Art & Culture menampilkan 14 stesen interaktif yang mengetengahkan seni, kraf tradisional dan persembahan kebudayaan secara langsung. Colours of Parade pula menampilkan persembahan budaya, elemen realiti maya serta sesi bersama maskot Wira dan Manja.
Kemuncak festival, Colours of Parade, bakal berlangsung pada 3 Oktober 2026 di IOI City Mall Putrajaya dengan penglibatan kira-kira 1,500 penari dan penghibur kebudayaan.
Acara penutup pada 4 Oktober pula akan menyaksikan Aktivasi Lamborghini yang dijangka menghimpunkan kira-kira 100 buah kereta berkuasa tinggi.
Citrawarna Speed Festival 2026 turut membawa kemeriahan ke Terminal 1 KLIA dan Hotel Sama-Sama KLIA menerusi persembahan kebudayaan, pameran automotif, permainan tradisional dan simulator perlumbaan.
Penganjuran festival ini turut menjadi sebahagian daripada usaha mempromosikan Malaysia bersempena Kempen Melawat Malaysia 2026-2027, selain mengetengahkan potensi sektor pelancongan, peruncitan, perhotelan dan industri kreatif.
Orang ramai boleh menikmati Citrawarna Speed Festival 2026 sehingga 4 Oktober 2026 di ketiga-tiga lokasi yang ditetapkan.


