Wali Band Kembali Ke Kuala Lumpur Dengan Konsert Eksklusif One Night Only

Kumpulan popular Indonesia, Wali Band bakal kembali menemui peminat di Kuala Lumpur menerusi WALI Exclusive One Night Only yang akan berlangsung di Megastar Arena, Kuala Lumpur pada 21 November 2026, jam 8.00 malam.

Dianjurkan oleh 25th Studio dan Infinity Love Creative Venture, konsert ini bakal menampilkan persembahan khas Wali Band bersama peminat menerusi deretan lagu popular yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan muzik mereka.

Berbeza dengan persembahan berskala besar, konsert kali ini hanya dibuka kepada 5,000 penonton sahaja, menjadikan pengalaman bersama Wali lebih eksklusif dan dekat dengan peminat.

Jumlah penonton yang terhad memberikan peluang kepada peminat untuk menikmati persembahan dalam suasana yang lebih intim serta istimewa bersama kumpulan yang terkenal dengan karya karya penuh makna.

Kehadiran Wali Band di Kuala Lumpur kali ini menyusuli kejayaan Konsert Wali Kembali yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada 1 Mei 2026, yang menyaksikan hampir 12,000 peminat hadir menyaksikan persembahan mereka.

Bagaimanapun, konsert tersebut merupakan penganjuran berasingan oleh pihak penganjur terdahulu, manakala WALI Exclusive One Night Only pada November ini dianjurkan oleh 25th Studio dan Infinity Love Creative Venture.

Selain Kuala Lumpur, Wali Band turut dijadualkan menemui peminat menerusi WALI Live In JB yang akan berlangsung pada 3 Oktober 2026 di EduCity Complex, Johor Bahru. Acara tersebut juga merupakan penganjuran yang berbeza daripada konsert Kuala Lumpur.

Bagi menambahkan lagi kemeriahan konsert ini, penyanyi dan penulis lagu popular Malaysia, Najwa Latif akan tampil sebagai artis undangan khas untuk membuka tirai persembahan sebelum Wali Band mengambil alih pentas utama.

Kehadiran Najwa Latif bakal mempertemukan dua nama dari Malaysia dan Indonesia dalam satu pentas, sekali gus memberikan pengalaman hiburan yang lebih menarik kepada penonton.

Sepanjang perjalanan muzik mereka, Wali Band dikenali menerusi lagu lagu yang dekat dengan kehidupan pendengar seperti Baik Baik Sayang, Cari Jodoh, Dik, Doaku Untukmu Sayang dan Tobat.

Karya karya tersebut bukan sahaja menjadi identiti Wali Band, malah turut menjadi sebahagian daripada kenangan peminat di Malaysia.

Tiket bagi WALI Exclusive One Night Only akan mula dijual pada 23 September 2026, jam 12.00 tengah hari menerusi www.myticket.asia.

Tiket ditawarkan dalam beberapa kategori iaitu CAT 1 Dik berharga RM182 untuk Free Standing, CAT 2 Baik Baik Sayang berharga RM482 untuk Numbered Seating, CAT 3 Doaku Untukmu Sayang berharga RM322 untuk Numbered Seating, CAT 4 Tobat berharga RM252 untuk Numbered Seating, VIP Berkah berharga RM782 untuk Numbered Seating dan VVIP Cari Jodoh berharga RM2,222 untuk Numbered Seating.

Dengan sokongan Hot FM dan Kool FM sebagai radio rasmi, konsert ini dijangka menjadi peluang istimewa buat peminat untuk menghayati semula lagu lagu popular Wali Band secara langsung di atas pentas.