Tiket Hampir Habis, Wali Band Teruja Bertemu Peminat di Kuala Lumpur

Gelombang Wali Band kini melanda Kuala Lumpur apabila hampir 90 peratus tiket konsert mereka telah habis terjual, sekali gus mencerminkan keterujaan luar biasa dalam kalangan peminat yang tidak sabar untuk menyaksikan persembahan secara langsung. Dengan sambutan yang begitu menggalakkan, Konsert Wali Kembali dijangka menjadi antara persembahan paling dinanti-nantikan, terutamanya selepas peminat tidak berpeluang menikmati sepenuhnya lagu-lagu hit Wali Band seperti ‘Aku Bukan Bang Toyib’, ‘Tobat Maksiat’, ‘Yank’, ‘Cari Jodoh’ dan ‘Baik-Baik Sayang’ dalam konsert RadjaWali awal tahun ini.

Konsert anjuran GIS Entertainment & Events bersama Infinity Love Creative Ventures ini dijadualkan berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 1 Mei 2026. Wakil penganjur, Mubarak Akhtar Mohd Aris, berkata sambutan luar biasa terhadap konsert ini amat membanggakan dan di luar jangkaan. Menurutnya, pihak penganjur berbesar hati melihat sokongan padu daripada peminat di Malaysia, sekali gus membuktikan bahawa muzik Wali Band masih relevan dan dekat di hati ramai. Beliau turut merakamkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan serta menegaskan komitmen untuk memberikan pengalaman konsert yang lebih berkualiti, bukan sahaja dari segi produksi malah kepuasan penonton.

Wali Band yang dianggotai Faank selaku vokalis, Apoy (gitar), Tomi (dram) dan Ovie (papan kekunci) turut mengakui tidak sabar untuk menjayakan konsert solo mereka di Kuala Lumpur. Faank berkata, respon dan energi luar biasa daripada peminat di Sabah ketika mereka menjayakan konsert solo di Kota Kinabalu awal bulan ini sangat mengagumkan, seolah-olah mereka beraksi di hadapan penonton di Indonesia. Mereka berharap dapat menerima sambutan dan energi yang sama di Kuala Lumpur, sambil berjanji akan memberikan persembahan terbaik seperti yang dipamerkan sebelum ini. Tambahnya lagi, konsert solo kali ini merupakan satu penghormatan besar buat mereka dan peluang untuk menghiburkan peminat serta menebus kekecewaan dengan mempersembahkan lagu-lagu hit.

Kali ini, Wali Band tampil lebih bersedia untuk menghadirkan pengalaman konsert yang lebih lengkap dan bertenaga menerusi rangkaian lagu popular yang mudah dinyanyikan bersama, selain susunan muzik yang segar serta interaksi lebih dekat dengan peminat. Peminat disarankan hadir seawal jam 4 petang bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas berikutan acara besar lain di sekitar Bukit Jalil. Pelbagai aktiviti menarik turut disediakan di luar perkarangan stadium termasuk persembahan muzik oleh DJ bagi menghiburkan mereka yang hadir lebih awal.

Dengan baki tiket yang semakin terhad, orang ramai digesa mendapatkan tiket segera bagi mengelakkan kekecewaan. Tiket boleh dibeli menerusi laman web www.ilassotickets.com, manakala maklumat terkini boleh diperoleh melalui media sosial rasmi @konsertwalikembali2026 di TikTok dan Instagram. Konsert ini turut mendapat sokongan Era FM, Sinar dan THR Gegar sebagai rakan radio rasmi, serta Astro Gempak sebagai portal rasmi.