Konsert TRILOGI Satukan Tiga Suara Ikonik Rock Tanah Air di Satu Pentas Eksklusif

Konsert TRILOGI bakal menghimpunkan tiga figura vokal berkarisma iaitu Aepul Roza, Aweera dan Fiq Halim dalam sebuah persembahan eksklusif yang meraikan keunikan serta kekuatan interpretasi masing-masing di atas satu pentas. Menggabungkan elemen rock, balada dan sentuhan kontemporari, setiap artis akan membawakan repertoir terbaik mereka, termasuk kolaborasi istimewa yang hanya dapat disaksikan pada malam tersebut. Gabungan ini dijangka mencipta momen bersejarah buat para peminat muzik tempatan.AepulRoza

Konsert ini dijadualkan berlangsung pada 18 Julai 2026 di Big Pillars Hall, Astana Putra, UPM Serdang. Dengan kapasiti terhad seramai 1,000 penonton sahaja, ia menawarkan pengalaman yang lebih eksklusif serta peluang untuk peminat menikmati persembahan secara lebih dekat bersama artis kesayangan mereka.

TRILOGI turut menandakan kemunculan semula Aepul Roza, Aweera dan Fiq Halim selepas tempoh menyepi, sekali gus menjadi detik yang dinanti-nantikan oleh peminat. Ketiga-tiga penyanyi ini pernah mencipta keserasian menerusi kolaborasi lagu “Selamatkan Aku” pada tahun 2017, yang menonjolkan kekuatan vokal serta karakter unik masing-masing. Idea penganjuran konsert ini tercetus hasil sambutan luar biasa ketika penampilan mereka di Konsert 15 Tahun Drama Band pada 31 Januari 2026, yang menerima reaksi hebat daripada penonton.

Konsert TRILOGI akan mempersembahkan sebanyak 25 buah lagu merangkumi karya solo, kolaborasi istimewa serta lagu-lagu popular daripada ketiga-tiga artis. Penonton bakal dibawa menyelusuri perjalanan seni dan emosi dalam sebuah persembahan yang penuh tenaga, nostalgia dan dinamika.

Menurut penganjur, Aepul Roza Ventures Sdn Bhd, konsert ini bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi sebuah platform untuk meraikan perjalanan seni, persahabatan dan evolusi muzik rock tempatan.

Tiket ditawarkan dalam tiga kategori iaitu VIP berharga RM289 yang terhad kepada 100 pemegang dan disertakan dengan sesi Meet & Greet eksklusif, kategori Normal pada harga RM189, serta kategori Standing berharga RM99. Tiket boleh didapati melalui laman rasmi www.trilogi.uberticket.asia.