EcoSys Lancar Prospektus IPO Bagi Perkukuh Pertumbuhan Industri Semikonduktor

EcoSys (Malaysia) Berhad, penyedia penyelesaian perindustrian untuk industri pan semikonduktor, secara rasmi melancarkan prospektusnya hari ini sebagai persediaan menuju tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.

EcoSys dan kumpulannya menyediakan dua kategori utama penyelesaian perindustrian yang saling melengkapi, iaitu fabrikasi komponen kejuruteraan jitu serta modul sub pemasangan ketulenan ultra tinggi (UHP), selain penyelidikan dan pembangunan (R&D), penyesuaian, pemasangan, pengujian, pentauliahan dan penyelenggaraan sistem pelepasan sisa.

Penyelesaian yang ditawarkan EcoSys menyokong pelbagai aplikasi termasuk peralatan pembuatan semikonduktor, peralatan pembuatan semikonduktor hadapan, peralatan pembuatan panel fotovoltaik solar (PV) serta sistem bekalan gas perindustrian.

IPO EcoSys melibatkan terbitan awam sebanyak 145.70 juta saham biasa baharu yang mewakili kira kira 25.5 peratus daripada modal saham terbitan syarikat selepas diperbesarkan kepada 571.35 juta saham ketika penyenaraian.

Saham IPO tersebut ditawarkan pada harga RM0.27 sesaham dengan jumlah hasil kasar yang dijangka dikumpulkan sebanyak RM39.34 juta. Tiada tawaran untuk dijual disediakan di bawah IPO berkenaan.

Hasil daripada IPO tersebut akan digunakan untuk menyokong beberapa inisiatif utama kumpulan termasuk pengembangan segmen pengurangan melalui pembelian komponen dan modul utama sistem pengurangan bernilai RM17 juta.

Sebanyak RM8 juta pula akan digunakan bagi pembayaran balik pinjaman bank, manakala RM4.93 juta diperuntukkan untuk peningkatan keupayaan operasi menerusi pembelian mesin serta pengembangan pasukan kumpulan.

Selain itu, EcoSys akan memperuntukkan RM1.54 juta untuk pengembangan pasaran India termasuk penubuhan pusat jualan dan perkhidmatan serta pengambilan kakitangan tempatan.

Baki hasil IPO akan digunakan sebagai modal kerja sebanyak RM2.36 juta dan anggaran perbelanjaan penyenaraian sebanyak RM5.50 juta.

Perkembangan industri semikonduktor global turut membuka peluang baharu kepada EcoSys, khususnya apabila India semakin muncul sebagai hab berpotensi bagi pengeluaran semikonduktor.

Sebagai sebahagian daripada strategi pengembangan antarabangsa, EcoSys merancang menubuhkan pusat jualan dan perkhidmatan khusus di India bagi memperkukuhkan kehadiran pasaran serta sokongan kepada pelanggan.

India menyumbang RM38.22 juta atau 35.1 peratus daripada hasil kumpulan bagi tahun kewangan 2025. Sehingga tempoh praktikal terkini, EcoSys turut memperoleh tujuh pelanggan baharu di India untuk segmen pengurangannya, menunjukkan peningkatan permintaan terhadap sistem yang ditawarkan.

Pengarah Urusan EcoSys (Malaysia) Berhad, Chan Chee Wei berkata pelancaran prospektus tersebut merupakan satu pencapaian penting menjelang penyenaraian syarikat di Pasaran ACE.

Menurut beliau, hasil IPO akan menyokong pengembangan segmen pengurangan, memperkukuhkan keupayaan fabrikasi dan operasi UHP serta meningkatkan kehadiran EcoSys di India.

Sementara itu, Datuk Bill Tan, Pengarah Urusan M & A Equity Holdings Berhad berkata EcoSys telah membangunkan kedudukan tersendiri melalui gabungan keupayaan fabrikasi UHP dan sistem pengurangan proprietarinya.

Beliau turut menyatakan bahawa hasil IPO akan membantu EcoSys meningkatkan keupayaan operasi, menyokong pertumbuhan perniagaan serta memperkukuhkan kehadiran syarikat dalam pasaran antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Eco Asia Capital Advisory Sdn Bhd, Datuk Kelvin Khoo pula berkata IPO tersebut merupakan langkah strategik yang akan membantu mengukuhkan asas operasi serta kapasiti pertumbuhan masa hadapan EcoSys.

Pelaburan dalam komponen sistem pengurangan, jentera baharu, pembangunan bakat serta penubuhan pusat jualan dan perkhidmatan India dijangka meningkatkan keupayaan kumpulan dalam memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang.

M & A Securities Sdn Bhd bertindak sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan untuk IPO tersebut, manakala Eco Asia Capital Advisory Sdn Bhd bertindak sebagai Penasihat Kewangan.