Sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan untuk mewujudkan tempat kerja yang selamat, sihat dan lestari, PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad (PNBMV) telah melancarkan Bulan Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE) 2026 bersempena dengan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) Negara 2026.
Majlis pelancaran yang berlangsung di Presint Merdeka 118 itu telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Ir. Ts. Hajah Hazlina binti Yon.

Pelancaran tersebut turut menampilkan sesi audio siar atau Podcast Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang disertai oleh Ketua Pegawai Eksekutif PNBMV, Dato’ Ir. Ts. (Dr.) Izwan Ibrahim, bersama Ketua Pengarah DOSH.
Dalam sesi berkenaan, mereka mengimbas kembali perkembangan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Malaysia sepanjang 150 tahun lalu. Mereka turut berkongsi aspirasi serta perspektif mengenai usaha meningkatkan kecemerlangan OSH di negara ini.
Atur cara majlis turut merangkumi pelepasan simbolik peserta Spire Climb yang menyaksikan kira-kira 50 kakitangan PNBMV bersama penyewa lain di menara berkenaan menyahut cabaran mendaki spire setinggi 160 meter.
Ketua Pegawai Eksekutif PNBMV, Dato’ Ir. Ts. (Dr.) Izwan Ibrahim berkata, “Menguruskan salah satu bangunan tertinggi di dunia memerlukan komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap aspek keselamatan. Setiap individu yang bekerja, berkunjung atau membantu mengendalikan Presint Merdeka 118 memainkan peranan penting dalam mewujudkan persekitaran yang selamat.
“Bulan HSE memperkukuh komitmen ini dengan menghimpunkan kakitangan, rakan kerjasama dan pihak berkuasa untuk belajar antara satu sama lain, memperkukuh keupayaan serta terus membina sebuah presint bertaraf dunia yang sentiasa mengutamakan keselamatan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah DOSH, Ir. Ts. Hajah Hazlina binti Yon memuji kesungguhan PNBMV dalam menjadikan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan sebagai keutamaan dalam operasinya.
“Saya memuji kesungguhan PNBMV dalam meletakkan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan sebagai keutamaan dalam operasinya. Inisiatif seperti Bulan HSE membuktikan bahawa keselamatan dan kesihatan pekerjaan bukan sahaja perlu dilihat sebagai usaha pematuhan, malah sebagai komitmen bersama yang diterapkan dalam budaya organisasi.
“Dengan memupuk kepimpinan yang kukuh, pembelajaran berterusan dan kerjasama pada semua peringkat, kita boleh mempergiat usaha pencegahan, mengurangkan risiko di tempat kerja serta mewujudkan persekitaran kerja yang lebih sihat dan selamat untuk semua,” katanya.
Sepanjang bulan Julai, PNBMV melaksanakan pelbagai inisiatif HSE yang dirangka untuk menggalakkan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan di tempat kerja di seluruh presint.
Antara program utama yang dianjurkan ialah Larian Menara Merdeka Be-Fit 118 yang disertai oleh juara dunia larian menara, Soh Wai Ching. Inisiatif lain termasuk pemeriksaan tapak HSE, latihan tindak balas kecemasan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA), ceramah kesedaran kesihatan mental oleh penceramah motivasi Da’i Izzhar Nazri, saringan kesihatan serta pelbagai aktiviti komuniti di Stadium Merdeka.
PNBMV terus memperkukuh budaya keselamatan di samping mematuhi piawaian antarabangsa tertinggi dalam pengurusan bangunan dan kelestarian.
Menara Merdeka 118 telah memperoleh pensijilan LEED dan WELL pada tahap Platinum. PNBMV juga sedang berusaha mendapatkan pensijilan GreenRE dan Green Building Index (GBI), sekali gus memperlihatkan wawasannya untuk mewujudkan sebuah presint bertaraf dunia yang mengutamakan keselamatan, kelestarian dan kesejahteraan demi manfaat semua penghuni.












