Di Sebalik “Kertas Wangi”: Luahan Jujur Kmy Kmo & Luca Sickta Tentang Godaan Material

Terus konsisten memartabatkan adat dan warisan budaya dalam karya mereka, duo rap berpengaruh negara, Kmy Kmo dan Luca Sickta, kembali menggugah pemikiran peminat menerusi single terbaharu berjudul Kertas Wangi. Selari dengan perjuangan seni yang dibawa, majlis Pelancaran Single dan Sidang Media Kertas Wangi yang berlangsung hari ini telah diadakan di sebuah bangunan warisan ikonik, Pasar Seni (Central Market), yang selama ini menjadi simbol mercu tanda seni dan budaya di Malaysia. Majlis tersebut turut menyaksikan penyerahan plak single Kertas Wangi oleh Pengarah Urusan Sony Music Entertainment Malaysia, Singapura, Vietnam dan Projek Khas Asia Tenggara, Kenny Ong, kepada Kmy Kmo dan Luca Sickta. Lebih menarik, pelancaran ini berlangsung serentak dengan acara Hari Kantin by Pasar Seni anjuran Pesta Kita yang diadakan selama tiga hari berturut-turut dari 23 Januari hingga 25 Januari 2026.

Mengangkat metafora wang sebagai simbol dunia material, Kertas Wangi tampil sebagai refleksi jujur tentang bagaimana manusia sering terperangkap dengan tekanan hidup, gaya luaran serta godaan dunia yang bersifat sementara. Diterbitkan oleh Sony Music Entertainment Malaysia, lagu ini muncul sebagai karya rap moden yang sarat dengan makna, namun tetap mudah dihayati menerusi susunan muzik kontemporari yang digarap dengan teliti. Inspirasi di sebalik lagu ini membawa mesej jelas tentang dunia yang sering mengaburi mata manusia dengan janji manis material, di mana menurut Kmy Kmo, metafora Kertas Wangi melambangkan bagaimana nilai wang boleh menutup nilai sebenar seorang insan. Beliau berkongsi bahawa inspirasi lagu ini lahir daripada pemerhatiannya terhadap kehidupan seharian, di mana manusia sering diuji dengan cabaran dan godaan dunia tanpa sedar bahawa tekanan hidup, perlumbaan gaya dan kejaran material mampu mengaburi hati serta nilai budi. Bagi beliau, Kertas Wangi adalah cerminan diri buat dirinya sendiri dan sesiapa sahaja yang mendengarnya.

Luca Sickta pula menambah bahawa Kertas Wangi bukan sekadar luahan pengalaman peribadi, sebaliknya sebuah refleksi umum tentang perjalanan hidup yang penuh ujian. Menurutnya, mesej paling penting yang ingin disampaikan adalah agar pendengar tidak membiarkan dunia material menguasai hati dan jiwa, dan itulah nilai yang diharapkan dapat dibawa pulang oleh setiap pendengar. Lagu ini juga menjadi bukti kematangan serta keserasian kreatif antara dua seniman muda ini, di mana proses penciptaannya dipenuhi dengan sikap saling menghormati, keterbukaan dan keseimbangan idea. Kmy Kmo berkongsi bahawa cabaran terbesar adalah menyatukan dua pemikiran kreatif yang sarat dengan idea, namun perbezaan pandangan itulah yang akhirnya memperkayakan karya ini. Beliau memberi tumpuan kepada lirik dan makna, manakala Luca Sickta memberi nyawa melalui muzik dan susunan, menghasilkan sebuah karya yang lebih besar daripada jangkaan awal.

Menurut Luca Sickta, kerjasama bersama Kmy Kmo terasa sangat natural kerana masing-masing membawa peranan yang saling melengkapi. Kedalaman kata yang dibawa oleh Kmy digabungkan dengan bentuk bunyi dan susunan muzik yang dihasilkannya, menjadikan setiap lapisan muzik dan lirik terasa organik serta jujur. Dari segi bunyi, Kertas Wangi mengetengahkan rap moden sebagai medium penyampaian mesej sosial dan refleksi kerohanian, diperkaya dengan elemen tradisi Pantai Timur seperti Dikir Barat yang digarap secara kreatif menerusi ritma, susunan vokal latar dan harmoni. Luca menjelaskan bahawa beliau mahu lagu ini kedengaran segar namun tetap memiliki jiwa Melayu, dengan gabungan beat yang tegas, harmoni moden dan sentuhan tradisi bagi menyampaikan kedalaman emosi. Rap pula dipilih kerana memberi ruang yang jujur dan terus terang untuk menyampaikan mesej berat tentang tekanan hidup, material dan nilai diri.

Kmy Kmo menambah bahawa rap merupakan medium paling dekat dengan anak muda untuk menyampaikan mesej sosial kerana sifatnya yang terus terang namun masih mampu bersifat puitis. Melalui pendekatan ini, mesej spiritual dan nilai budi dapat terus kekal relevan walaupun disampaikan dalam muzik kontemporari. Bagi duo ini, Kertas Wangi bukan sekadar sebuah lagu, sebaliknya satu peringatan untuk kembali menilai diri, memahami nilai sejati dan tidak terperangkap sepenuhnya dalam dunia material. Kmy Kmo menyatakan harapannya agar lagu ini memberi ruang kepada pendengar untuk berhenti sejenak, menarik nafas dan berfikir tentang perkara yang benar-benar penting dalam hidup. Baginya, jika walaupun hanya seorang pendengar tersentuh dan terinspirasi untuk menilai diri semula, itu sudah cukup bermakna.

Luca Sickta turut berkongsi bahawa selepas ini mereka merancang beberapa projek baharu termasuk perancangan menghasilkan sebuah album penuh, dengan Kertas Wangi menjadi permulaan kepada fasa seterusnya dalam perjalanan muzik mereka. Single Kertas Wangi kini boleh didengarkan di semua platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music bermula 21 November 2025.