Industri muzik alternatif tanah air bakal menyaksikan satu detik bersejarah apabila empat nama besar genre indie Malaysia — Butterfingers, Bunkface, Bittersweet, dan Masdo — disahkan bakal berkongsi pentas dalam Konsert Indiescovery 2026: 4 Gergasi Indie Tempatan Singgah Zepp KL.
Acara berprofil tinggi anjuran RR Entertainment itu dijadualkan berlangsung di premis berprestij Zepp Kuala Lumpur pada 18 Julai 2026, bermula jam 8.00 malam.
Konsert ini disifatkan sebagai antara perhimpunan muzik indie paling dinanti tahun ini kerana menampilkan keunikan tersendiri daripada setiap kumpulan. Kumpulan Butterfingers bakal mengubati rindu peminat dengan persembahan istimewa bersempena album ikonik mereka, “Transcendence X Butter Worth Pushful”, manakala Bunkface sedia membakar pentas dengan tenaga pop punk mereka. Kehadiran pelopor Brit-pop tempatan, Bittersweet, bakal membawa nuansa nostalgia, sementara Masdo melengkapkan malam tersebut dengan sentuhan retro moden mereka.

Bagi merapatkan jurang generasi dan menyokong kelangsungan industri, penganjur turut menampilkan band muda yang sedang meningkat naik, Noise, sebagai aksi pembuka tirai rasmi. Langkah ini diambil bagi memberi ruang kepada bakat baharu mempersembahkan karya mereka di samping nama-nama besar tersebut.
Selain menjadi acara hiburan, konsert ini diangkat sebagai sebuah gerakan budaya untuk meraikan evolusi, identiti, dan sumbangan penggiat seni bebas yang terus mempertahankan muzik alternatif di Malaysia merentasi pelbagai generasi.

Menjelang hari konsert, sambutan yang diterima daripada peminat dilaporkan sangat luar biasa apabila tiket bagi kategori CAT 3 Seating kini sudah hampir 90% terjual.
Pihak penganjur menasihatkan orang ramai agar membuat pembelian awal memandangkan kapasiti ruang di Zepp Kuala Lumpur adalah terhad untuk acara berskala besar ini. Tiket-tiket yang merangkumi kategori CAT 1 & CAT 2 Standing, CAT 3 & CAT 4 Seating, serta VIP Box boleh didapati secara dalam talian melalui platform rasmi Ticket2U di pautan https://www.ticket2u.com.my/event/49944.













