Dari Selipar Tempatan ke Pasaran Dunia, Jee Von Dinobatkan Penerima TOYM 2026

Gambar penerimaan anugerah TOYM oleh Jee Von

Kejayaan membawa jenama selipar getah tempatan ke pasaran antarabangsa menjadi antara pencapaian yang mengangkat nama Ketua Pegawai Eksekutif Fipper Group, Choong Jee Von, sebagai salah seorang penerima Ten Outstanding Young Malaysians (TOYM) 2026.

Jee Von menerima pengiktirafan dalam kategori Pencapaian Perniagaan, Ekonomi dan/atau Keusahawanan, susulan pencapaiannya dalam mengembangkan Fipper sebagai jenama Malaysia yang mempunyai kehadiran di pasaran antarabangsa.

Berbekalkan latar belakang dalam Sains Aktuari serta kelayakan MBA, Jee Von menerapkan pendekatan berasaskan data dalam strategi pemasaran dan operasi perniagaan Fipper. Di bawah kepimpinannya, rangkaian peruncitan Fipper kini berkembang ke 19 negara dan wilayah dengan lebih 150 outlet.

Sebagai anak kelahiran Melaka, pencapaian tersebut turut melengkapkan kejayaan beliau apabila pada April 2026, Jee Von menerima Anugerah Khas Usahawan 2026 serta dinobatkan sebagai Usahawan Belia (Johan) 2026 yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Melaka.

Gambar Penerimaan Anugerah Usahawan Negeri Melaka 2026

Dalam ucapannya pada majlis TOYM 2026, Jee Von turut menekankan kepentingan mengimbangi pertumbuhan perniagaan dengan amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

Fipper komited menggunakan getah semula jadi sebagai alternatif kepada plastik sintetik, selain melaksanakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat menerusi projek ‘Fipper Sayang’ bagi membantu komuniti yang memerlukan.

Menurut Jee Von, kejayaan perniagaan bukan hanya bergantung kepada pencapaian kewangan, sebaliknya perlu turut memberi manfaat kepada masyarakat.

Beliau turut menyeru golongan muda supaya berani mengejar impian tanpa membiarkan batasan menentukan sejauh mana mereka mampu pergi.

Anugerah JCI TOYM 2026 bertemakan One Nation, One Vision dianjurkan oleh JCI South Key di bawah JCI Malaysia, dengan pengiktirafan diberikan kepada 10 rakyat Malaysia berusia antara 18 hingga 40 tahun berdasarkan pencapaian serta sumbangan dalam pelbagai bidang.