Eco-Shop meraikan kemeriahan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia menerusi Pertandingan Mewarna ‘Raikan Seni Kita, Jiwa Bangsa’ yang menghimpunkan hampir 300 kanak kanak di Kompleks Komuniti Muhibbah, Kuala Lumpur.
Inisiatif tersebut memberi peluang kepada kanak kanak meneroka erti Malaysia melalui kreativiti dan ekspresi diri, selain menyatukan komuniti dalam meraikan semangat cintakan negara.
Murid dari lebih 15 sekolah rendah di seluruh Kuala Lumpur mengambil bahagian dengan mewarnakan karya asli artis tempatan, Projek SembangSembang, menggunakan alat tulis keluaran jenama sendiri Eco-Shop, KREATI.
Program itu turut disertai 44 kanak kanak daripada rumah kebajikan bagi memeriahkan lagi aktiviti mewarna yang dianjurkan sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Eco-Shop Malaysia, Jessica Ng berkata, kempen tersebut bertujuan memberi inspirasi kepada generasi muda untuk meneroka erti Malaysia, selain memupuk penghargaan terhadap budaya, identiti dan semangat kebersamaan negara.
Menurutnya, pertandingan mewarna itu memberi ruang kepada murid menyampaikan tafsiran mereka mengenai erti Malaysia menerusi seni, di samping menggalakkan mereka meraikan kreativiti serta memupuk rasa kebersamaan terhadap negara.
Daripada 252 peserta pertandingan, seramai 55 murid dipilih sebagai pemenang yang terdiri daripada lima pemenang utama dan 50 pemenang saguhati.

Lima pemenang utama menerima hadiah wang tunai antara RM100 hingga RM1,500. SJK(C) Mun Choong dan SK Seri Permaisuri masing masing menerima RM10,000 dan RM5,000 untuk tujuan penambahbaikan sekolah.
SK Desa Petaling pula memenangi tempat ketiga dan keempat dengan menerima RM3,000 bagi penambahbaikan sekolah untuk tempat ketiga serta baucar Eco-Shop bernilai RM1,000 bagi tempat keempat. SK Kampong Bharu yang menduduki tempat kelima menerima baucar bernilai RM500.
Kesemua 50 pemenang saguhati menerima baucar Eco-Shop bernilai RM100 setiap seorang, manakala setiap sekolah yang menyertai pertandingan turut menerima baucar Eco-Shop bernilai RM500 sebagai tanda penghargaan.
Selain murid sekolah rendah, program tersebut turut mengalu alukan penyertaan 44 kanak kanak daripada Pertubuhan Kebajikan Anak anak Yatim dan Asnaf Qaseh Ibu serta Suriana Welfare Society Malaysia.
Sebagai tanda penghargaan, rumah kebajikan yang mengambil bahagian turut menerima sumbangan daripada Eco-Shop.
Jessica Ng berkata, penyertaan kanak kanak dengan membawa idea dan tafsiran masing masing terhadap karya seni menjadi antara momen bermakna dalam kempen tersebut.
Beliau turut menekankan bahawa tiada satu cara khusus untuk menzahirkan erti Malaysia dan berharap kanak kanak yang mengambil bahagian dapat memahami bahawa perspektif mereka turut mempunyai tempat dalam kisah bersama sebagai sebuah negara.
Pertandingan Mewarna tersebut menjadi kemuncak kepada kempen ‘Raikan Seni Kita, Jiwa Bangsa’ Eco-Shop yang berlangsung di seluruh negara dari 1 Ogos hingga 30 September 2026 sempena sambutan Merdeka Malaysia ke 69.
Untuk mengikuti perkembangan terkini Eco-Shop, orang ramai boleh mengikuti akaun rasmi Eco-Shop di Facebook, Instagram, TikTok dan XHS.














