Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) mengambil langkah pantas dengan melancarkan semula Program Prihatin Banjir bagi membantu pelanggan yang terkesan akibat bencana banjir yang melanda beberapa kawasan di seluruh Malaysia. Inisiatif ini bertujuan meringankan beban kewangan pelanggan melalui pelbagai bantuan yang ditawarkan.
Antara bantuan yang disediakan adalah penangguhan ansuran bulanan sehingga enam bulan untuk pelanggan Pembiayaan Rumah, Pembiayaan Peribadi, dan Pembiayaan Kenderaan-i yang layak. Bantuan ini tertakluk kepada terma dan syarat tertentu.
Dalam usaha meringankan beban tambahan, Bank Islam turut menyediakan penggantian percuma untuk kad kredit, kad debit-i, dan buku cek yang rosak atau hilang akibat banjir.
Untuk sektor perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas, Bank Islam memperkenalkan Kemudahan Bantuan Bencana, khusus untuk PKS di kawasan yang diisytiharkan sebagai kawasan bencana oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). Melalui kemudahan ini, PKS yang layak boleh memohon pembiayaan untuk tujuan baik pulih atau penggantian aset perniagaan yang rosak seperti kilang dan mesin, serta mendapatkan modal kerja yang diperlukan.
Moratorium selama enam bulan turut ditawarkan kepada pelanggan PKS sedia ada yang terjejas di kawasan yang dikenal pasti NADMA. Bantuan ini meliputi semua kemudahan kredit berjadual atau berkontrak seperti Kemudahan Pembiayaan Berjangka, Kredit Berpusing, Kemudahan Garis Tunai, serta Kemudahan Perdagangan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Dato’ Mohd Muazzam Mohamed, menyatakan bahawa Bank Islam sentiasa berwaspada dengan situasi di kawasan terjejas dan prihatin terhadap kesulitan yang dihadapi oleh pelanggan mereka. “Kami mengambil pendekatan proaktif dengan memastikan proses dokumentasi dan kelulusan bantuan adalah mudah serta tidak membebankan,” jelas beliau.
Beliau turut menambah, “Kesejahteraan komuniti adalah keutamaan kami. Kami berharap inisiatif Program Prihatin Banjir dan Kemudahan Bantuan Bencana dapat mengurangkan kebimbangan pelanggan terhadap komitmen kewangan mereka di saat mencabar ini.”
Permohonan bantuan kewangan boleh dibuat di cawangan Bank Islam terdekat dalam tempoh tiga bulan selepas insiden banjir. Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman web rasmi Bank Islam di www.bankislam.com atau dengan menghubungi Pusat Panggilan Bank Islam di contactcenter@bankislam.com.my atau 03-26 900 900.
Bagi pelanggan Pembiayaan Perniagaan-i yang terjejas, pertanyaan dan permohonan bantuan boleh dibuat di cawangan Bank Islam terdekat atau melalui e-mel di sme-assist@bankislam.com.my.