Adina Charity Circle bersama Persatuan Peniaga-Peniaga Kompleks PKNS Shah Alam dan AlKhair Malaysia melancarkan kempen kebajikan “Diapers Donation Drive”, sebuah inisiatif untuk mengumpul lampin pakai buang bagi membantu kanak-kanak kanser yang memerlukan. Majlis pelancaran disempurnakan oleh YBhg Dato’ Nazmi Ab Talib, Pengarah Strategi & Perniagaan Koperasi Guru Besar Selangor Berhad.
Turut hadir memberi sokongan ialah selebriti Putra Amaris, wakil AlKhair Malaysia Puan Nuraishah Zaidi, serta Yang Dipertua Persatuan Peniaga-Peniaga Kompleks PKNS Shah Alam, Puan Latifah Jalil. Mereka bersama Adina Charity Circle komited meningkatkan kesedaran mengenai keperluan mendesak keluarga pesakit kanser, termasuk kos penyediaan diapers yang membebankan.
Kempen berlangsung dari 1 hingga 14 Disember 2025 di Pentas Utama, Kompleks PKNS Shah Alam dari jam 10 pagi hingga 8 malam, dengan sasaran mengumpul 200 pek lampin pelbagai saiz. Pengerusi Adina Charity Circle, Puan Nurdieana Mohd Mardzi menegaskan bahawa sokongan masyarakat amat diperlukan untuk memastikan bantuan sampai kepada penerima yang benar-benar memerlukannya.
Menurut YBhg Dato’ Nazmi Ab Talib, inisiatif ini memberi kesan langsung kepada keluarga pesakit kanser yang berdepan tekanan kewangan, dan sumbangan seperti diapers mampu meringankan beban harian mereka.
Adina Charity Circle turut merakamkan penghargaan kepada rakan kerjasama termasuk AlKhair Malaysia, Kompleks PKNS Shah Alam, Cinta Gaza Malaysia, Ajwa Bakery, Pertubuhan KAB, Biofitrah, Grads, Rumah Ngaji Mekah, The Charms Team dan Kumpulan Ibu Bapa dan Sokongan Anak-anak Kanser (Kids) atas komitmen mereka.
Organisasi itu juga merancang menjadikan “Diapers Donation Drive” sebagai acara tahunan bagi membantu lebih ramai kanak-kanak kanser dan golongan memerlukan.
Acara kemuncak akan berlangsung pada 14 Disember 2025 di Kompleks PKNS Shah Alam bersempena program “Raikan Kasih Adina AlKhair”. Acara ini akan menampilkan aktiviti interaktif bersama kanak-kanak, sudut Wishing Card, sesi perkongsian Ustaz Don Daniyal, penyerahan diapers dan susu bernutrisi, pengumuman jumlah kutipan, persembahan rakan selebriti serta penyampaian penghargaan kepada penaja dan rakan kerjasama.
Orang ramai digalakkan hadir dan menyumbang sambil menikmati suasana membeli-belah Year End Sale di Kompleks PKNS Shah Alam.
Selain sumbangan diapers, orang ramai boleh menyalurkan sumbangan kewangan ke:
Nama Akaun: Pertubuhan Kebajikan Adina
Bank: CIMB Islamic
No. Akaun: 8605 7494 60
Setiap sumbangan akan disalurkan sepenuhnya bagi membantu kanak-kanak kanser dan golongan memerlukan.