Ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski menzahirkan rasa bangga terhadap anak buahnya selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas Palestin dalam aksi persahabatan Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Jurulatih dari Australia itu memuji disiplin, komitmen dan mentaliti tinggi yang dipamerkan pemain meskipun berdepan jadual padat sepanjang jendela antarabangsa ini.
“Separuh masa pertama sangat baik, 60 minit pertama amat positif. Pada baki 20 minit, kita perlu bertahan dengan lebih kemas dan para pemain melakukannya. Saya bangga kerana berjaya mengekalkan rekod bersih dan meraih kemenangan,” katanya pada sidang media.
Cklamovski turut menegaskan kejayaan pasukan adalah hasil usaha kolektif, bukan individu. Malah, beliau membuat tujuh pertukaran daripada aksi sebelum ini serta enam pertukaran ketika perlawanan berlangsung.
Gol tunggal perlawanan dijaringkan penyerang naturalisasi, Joao Figueiredo pada minit ke-3 selepas menerima hantaran rendah Quentin Cheng.
Malaysia kini akan memberi tumpuan kepada persiapan kelayakan Piala Asia AFC pada Oktober dengan penekanan terhadap hantaran tepat, situasi bola mati dan konsistensi permainan.